Usah biarkan potensi graduan muda terkubur

PERMATANG PAUH 06 SEPTEMBER 2019. (WAJAH-WAJAH HARIAM METRO). Antara graduan yang hadir pada Majlis Konvokesyen Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang. STR/SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL.

 

Pengangguran dalam kalangan belia bukan fenomena baharu di negara ini, dengan beberapa aspek menjadi faktor pendorong peningkatannya.

Isu ini perlu diselesaikan. Belia perlu mendapatkan pekerjaan bagi menjana sumber pendapatan diri sendiri serta menampung keluarga.

Lebih teruk, pengangguran menyebabkan belia berhijrah meninggalkan negara untuk mencari kerja di tempat orang, akhirnya berlaku brain drain atau kehilangan sumber manusia berkualiti dalam negara.

Peratusan kadar pengangguran meningkat ke paras lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya kerana pasaran pekerjaan negara terjejas akibat pandemik.



Justeru, dasar lebih jelas dan khusus perlu dirangka bagi memastikan peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi membantu belia.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia perlu mencari solusi kekal bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan belia.

Majlis Pekerjaan Negara (MPN) antara medium terbaik mengkoordinasi dan mencari solusi.

Menurut kajian, pengangguran tinggi dalam kalangan belia juga disebabkan isu peluang kerja tidak sepadan kemahiran mereka.



Majoriti peluang pekerjaan di pasaran dalam kategori kemahiran rendah dan sederhana, iaitu kurang sesuai untuk graduan baharu.

Justeru, belia harus dilatih memiliki pelbagai kemahiran asas selain ilmu teori.., supaya dapat menggunakan kemahiran dimiliki sebagai sumber pendapatan kelak.

Menurut kajian Institut Kajian Dasar dan Pembangunan Polisi (IRDP), universiti dan kolej di Malaysia menghasilkan lebih 200,000 graduan tempatan dengan kelayakan diploma dan ijazah sarjana muda setiap tahun.

Namun, mereka yang memasuki pasaran pekerjaan ditawarkan gaji sangat rendah. Mereka tidak punya pilihan, selain menerima tawaran supaya tidak menganggur.

Kadar pengangguran tinggi dalam kalangan belia, iaitu 10.8 peratus pada 2018 disebabkan ketidaksepadanan antara bekalan buruh dengan permintaan terhadap tenaga kerja di pasaran.

Penciptaan pekerjaan berkurang, terutama berkemahiran tinggi yang sesuai dengan kelayakan siswazah muda ini. Impaknya, ramai graduan muda menganggur di Malaysia dan lebih utama mengakibatkan ramai bekerja di bawah potensi sebenar.

Malangnya, kerajaan tidak menerbitkan sebarang statistik mengenai pekerjaan di bawah kapasiti sebenar di Malaysia. Campur tangan langsung kerajaan diperlukan untuk mengatasi masalah ini. yang akan menjejaskan usaha meningkatkan daya saing ekonomi untuk jangka masa panjang.

Bagi menangani isu struktural ini, tiga cadangan dasar disyorkan termasuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dihasilkan universiti tempatan serta memberi ruang kepada kerajaan bertindak sebagai majikan sementara untuk graduan menganggur.

Ini membolehkan mereka dilatih dan dipertingkatkan kemahiran dalam bidang mapan dan mempunyai masa depan. Kerjasama sektor awam dan swasta juga perlu untuk memastikan pekerja dibayar gaji setanding kos sara hidup.

Belia adalah tulang belakang utama pembangunan negara. Dalam usia perdana, mereka akan menjadi penyumbang utama aktiviti ekonomi. Bagaimanapun, tanpa campur tangan tepat kerajaan untuk menangani masalah pengangguran belia dan bekerja di bawah kemampuan sebenar, potensi besar generasi muda akan menjadi sia-sia. Masalah pendapatan rendah dalam kalangan belia hanya akan bertambah buruk jika digabungkan isu ekonomi lain dihadapi seperti Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kenaikan harga hartanah, peningkatan kos sara hidup, keperluan membeli kereta kerana akses terhad pengangkutan awam dan peningkatan kos penjagaan kanak-kanak.

Adalah selamat mengatakan satu daripada penyelesaian utama menangani peningkatan kos ini dengan meningkatkan tahap pendapatan rakyat, terutama graduan muda.

Pada masa sama, kerajaan perlu melihat kembali dasar pengambilan pekerja asing dalam negara.

Memandangkan negara menghadapi pelbagai masalah akibat penularan COVID-19, penting sektor pekerjaan dalam negara termasuk sektor 3D (kotor, susah dan bahaya) diberikan keutamaan kepada warga tempatan bagi mengelak isu pengangguran membelenggu, terutama dalam kalangan belia.

Kerajaan mesti mengambil pendekatan proaktif menangani masalah ini sebelum ia menjadi masalah lebih besar dan tidak dapat dikawal.

Penulis adalah Felo Penyelidik Belia Malaysia (MBM)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker