Tanjong Karang pertama sasaran ‘kosong kerusi’

Oleh – Syeikh Baran


Tanjong Karang pertama sasaran 'kosong kerusi'
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi

Kerusi Parlimen Tanjong Karang kini sasaran utama BERSATU untuk dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil (PRK), susulan tindakan wakil rakyatnya, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi, mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Mohd Rafiq Abdullah, berkata tindakan itu selaras keputusan dibuat melalui mesyuarat khas parti itu malam tadi untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang khianat.

Bercakap kepada FMT, katanya, Zulkafperi ‘mungkir janji’ apabila membuat akuan berkanun (SD) menyokong Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak akan mengkhianati parti selepas lima Ahli Parlimen beralih sokongan.



“Satu (kerusi) dah boleh teruskan (tindakan undang-undang) kepada Zulkafperi. Dia selepas insiden (beberapa Ahli parlimen BERSATU beralih sokongan) ada buat aku janji dengan parti.

“Dia (Zulkafperi) dah buat SD tidak akan khianat. (Jadi) kita teruskan (tindakan undang-undang) dalam masa terdekat,” katanya.

Zulkafperi adalah Ahli Parlimen BERSATU keenam yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, dengan lima yang lain adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Terdahulu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata mesyuarat malam tadi bersetuju meminda Perlembagaan parti bagi menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyatnya daripada berulang pada masa depan.



Selepas ini, Ahli Parlimen Larut itu berkata, wakil rakyat BERSATU yang didapati khianat boleh kehilangan kerusi.

Selain Zulkafperi, Rafiq berkata tindakan sama akan diambil terhadap lima lagi Ahli Parlimen yang beralih sokongan itu selepas mesyuarat agung khas diadakan untuk meminda perlembagaan.

“Lima lagi (Ahli Parlimen yang beralih sokongan) selepas kita pinda (perlembagaan parti), kita akan keluarkan surat… tanya adakah mereka bersama parti atau tidak.

“Kita akan lawan sampai kerusi itu dikosongkan, (mesyuarat agung) belum diputuskan, ibu pejabat tengah uruskan, tarikh, prosedur… kita ada pasukan guaman kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan FMT bahawa episod peralihan sokongan itu tidak mengganggu usaha Perikatan Nasional (PN) menggulingkan kerajaan.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker