Sugu terlepas hukuman penjara, dikenakan bon berkelakuan baik


Bekas pekerja ladang M. Sugu hari ini dijatuhi hukuman bon berkelakuan baik tiga tahun dengan cagaran RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah memiliki senjata berbahaya. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

11/01/2021 12:44 PM

IPOH, 11 Jan — Bekas pekerja ladang M. Sugu hari ini terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Sesyen di sini mengenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun bercagaran RM8,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Norashima Khalid memerintahkan hukuman tersebut selepas Sugu, 30, mengaku bersalah semasa prosiding perbicaraan bagi tuduhan memiliki senjata berbahaya pada Julai 2020.

Selain itu, Norashima turut mengarahkan Sugu membayar kos pendakwaan sebanyak RM3,000 setelah dicadangkan oleh Timbalan Pendakwaraya Liyana Zawani Mohd Radzi.

Norashima berkata Sugu dilepaskan setelah mahkamah mendengar rayuan pihak pembelaan dan mengambil kira fakta dikeluarkan selain meneliti permohonan representasi yang dihantar tahun lepas.

Pada prosiding hari ini, peguam Syahrul Nizam Mohd Rabi memohon mahkamah membenarkan perintah bon berkelakuan baik dengan cagaran minimum ke atas anak guamnya di bawah Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah.

Syahrul Nizam memohon bon itu atas alasan ia berpunca daripada salah faham dan anak guamnya tidak pernah terlibat dalam sebarang kes jenayah atau gengsterisme selain perlu menyara dua anak yang masih kecil.

“Anak guam kami juga salah seorang calon Ikon Anak Bandaraya Ipoh yang mana hasil usaha beliau lakukan sedikit sebanyak mengharumkan nama negeri Perak.

“Dalam kes ini, anak guam telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi apa yang berlaku. Pengakuan awal hari ini juga telah menjimatkan masa dan kos perbicaraan yang bakal mengambil masa panjang,” katanya.

Pada 24 Julai lepas, Sugu yang juga suami kepada penggiat YouTube masakan, S. Pavithra mengaku tidak bersalah memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, antara 4 hingga 6 petang, 21 Julai tahun lepas yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat.

Pihak pembelaan sebelum ini menghantar surat permohonan representasi kepada pihak pendakwaan untuk mengkaji semula status kes dan meneliti semula pertuduhan terhadap Sugu.

Pada 17 Sept lepas, Mahkamah Sesyen Ipoh melepas tanpa membebaskan Sugu, daripada tuduhan mencederakan Pavithra, 28, pada waktu kejadian selepas isterinya itu mengangkat sumpah bagi menarik balik pertuduhan dengan rela tanpa paksaan dan ugutan.

Perbicaraan kes memiliki senjata berbahaya Sugu ditetapkan dua hari mulai 11 Jan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker