AIBC minta segerakan kajian semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India

11/01/2021 06:00 PM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) — Majlis Perniagaan ASEAN India (AIBC) meminta Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India yang ditandatangani dan berkuat kuasa pada 2010 dikaji semula dengan secepat mungkin, kata Pengerusi Bersama AIBC, Datuk Ramesh Kodammal.

Beliau berkata perkara itu dibangkitkan ketika delegasi AIBC melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Khamis lalu (7 Jan) di pejabatnya di Putrajaya.



“Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India harus dikaji semula kerana ini akan membantu merealisasikan potensi perdagangan dua hala yang sebenar antara India dan 10 negara ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Ramesh berkata kajian semula perjanjian itu harus dipercepat untuk meningkatkan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang lebih mesra pengguna dan memudah perniagaan dengan memperluas pengurangan duti serta mempermudah peraturan asal perdagangan.

Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India ditandatangani dan dikuatkuasakan pada 1 Jan 2010.

Di bawah perjanjian itu, ASEAN dan India bersetuju membuka pasaran masing-masing dengan secara progresif mengurangi dan menghapuskan duti ke atas 76.4 peratus barangan.



Ramesh berkata dalam pertemuan dengan Mohamed Azmin, AIBC menekankan potensi pasaran sebenar yang menggabungkan populasi ASEAN dan India adalah dua bilion dan masih belum diterokai sepenuhnya.

“India adalah pasaran penting untuk komoditi seperti minyak sawit, getah, petroleum dan pelbagai produk selain menjadi sumber pasaran penting bagi import pelbagai produk pertanian dan perkilangan ASEAN,” katanya.

Perdagangan dua hala ASEAN dan India sekitar AS$77.48 bilion (A$S$1= RM4.03), dengan eksport ASEAN ke India berjumlah AS$48.25 bilion.

Ramesh berkata dalam pertemuan itu, Mohamed Azmin turut mengalu-alukan usaha AIBC untuk menjalin hubungan perniagaan lebih erat antara ASEAN, Malaysia dan India selain memperluas jaringannya melalui kerjasama dan pertalian erat dengan majlis perniagaan serta organisasi terkemuka lain seperti Persekutuan Dewan Perdagangan India dan Industri India (FICCI) dan dewan perdagangan dan industri lain di wilayah berlainan di India.

KES DI INDIA TERUS MENINGKAT, 97,570 KES BAHARU DILAPORKAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker