China keluarkan laporan kajian klinikal saringan sampel kanser serviks

Hebahkan !!!

11/01/2021 02:19 PM

BEIJING, 11 Jan — Buat julung kalinya, China pada Ahad mengeluarkan laporan kajian klinikal saringan sampel kanser serviks yang diperoleh menerusi data dikumpulkan dari pelbagai pusat rawatan.

Menurut hasil kajian tersebut, saringan awal kanser serviks dengan menggunakan kaedah ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) terbukti amat berkesan dengan kos lebih berpatutan di institusi perubatan di bandar dan desa berdasarkan syarat keupayaan perkhidmatan yang ada di China ketika ini.

Hasil kajian itu juga berjaya menyediakan bukti saintifik untuk pembasmian penyakit kanser serviks di China.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China (NHC) turut memaklumkan bahawa perolehan hasil itu sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan China terhadap usaha pencegahan dan rawatan kanser serviks.

Sejak 2009, usaha saringan kanser serviks dalam kalangan wanita di kawasan desa telah disenaraikan dalam projek perkhidmatan kesihatan awam utama negara untuk menggalakkan pemeriksaan di seluruh negara.

Setakat 2019, lebih 120 juta saringan secara percuma untuk mengesan kanser serviks telah dilakukan.

Dalam perkembangan lain, Strategi Global untuk Mempercepat Langkah Pembasmian Kanser Serviks yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada November 2020 mencadangkan komitmen global terhadap matlamat berperingkat untuk membasmi penyakit itu menjelang 2030.

Menurut pakar China dalam bidang itu, morbiditi dan kadar kematian kanser serviks agak tinggi di China.

Justeru, kajian klinikal saringan sampel kanser dikumpulkan dari pelbagai pusat rawatan amat penting bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika usaha saringan dibuat terhadap wanita mengikut umur yang sesuai.

 

Leave a Reply

%d bloggers like this: