Felcra bayar RM150 juta kepada Public Mutual untuk pelaburan – Saksi

11/01/2021 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan — Mahkamah Sesyen dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Ezette A. Samad hari ini diberitahu bahawa Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad telah membuat bayaran RM150 juta melalui lima transaksi kepada unit amanah Public Mutual bagi tujuan pelaburan.

Bekas Pengurus Kewangan di Unit Pelaburan Felcra Esah Abas, 62, berkata pembayaran oleh Felcra dibuat melalui lima baucar bayaran bertarikh 18 Mei 2015.

“Kelima-lima baucar bayaran yang dirujuk kepada saya ini disediakan oleh saya atas arahan Azriman Ridouan selaku Pengurus Kanan Kawalan Kredit ketika itu. Baucar-baucar yang disediakan berdasarkan satu salinan surat kepada Affin Islamic Bank Berhad bertajuk Pindahan Wang Dari Akaun Semasa Felcra Berhad.



“Jumlah bayaran yang dibuat kepada Public Mutual Berhad ialah berjumlah RM50 juta, RM50 juta, RM20 juta, RM20 juta dan RM10 juta. Saya sahkan tandatangan penyedia kesemua baucar ini ialah tandatangan saya,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Maziah Mohaide dalam perbicaraan kes rasuah dihadapi Bung Moktar dan isterinya, pelakon Zizie Ezette.

Esah berkata surat pindahan wang RM150 juta bagi pelaburan unit amanah Public Mutual ditandatangani oleh bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan Felcra Azmy Abu Samah dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Felcra Datuk Fattah Abdullah.

“Kedua-dua individu ini adalah penandatangan yang sah bagi setiap pembayaran yang dibuat oleh Felcra Berhad,” katanya



Ketika disoal balas oleh peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette, sama ada unit pelaburan itu menyalahi prosedur kewangan, Esah menjawab: “Ia tidak menyalahi.”

Kumaraendran : Bolehkan membuat pelaburan itu?

Esah : Ketika itu boleh, sebab ada duit.

Kumaraendran : Tanpa surat yang ditandatangani Datuk Fattah, adakah baucar boleh dikeluarkan?

Esah : Tanpa surat, saya tidak boleh sediakan baucar.

Esah turut memaklumkan bahawa kelulusan pembayaran itu dibuat oleh pihak atasan dan beliau tidak terbabit dalam perkara itu.

Dalam prosiding itu, pendakwaan turut diwakili TPR Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria, Siti Noor Hafizan Zakaria dan Abdul Rashid Sulaiman manakala peguam M.Athimulan mewakili Bung Moktar, sementara Ridha Abdah Subri dan Ahmad Adha Amir Yasser mewakili kedua-dua tertuduh.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 61, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie Ezette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Ezette pula mengaku tidak bersalah atas tiga kesalahan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker