‘RM6 juta bayar gaji’

Oleh – Syeikh Baran


'RM6 juta bayar gaji'
Pasukan Liga Super perlu menyediakan antara RM5 juta hingga RM6 juta untuk membayar gaji pemain semusim.

Pasukan Liga Super dianggarkan memerlukan sekurang-kurangnya RM10 juta untuk membentuk skuad yang mampu memberi saingan bagi musim 2024/25.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan sebanyak 50 atau 60 peratus iaitu antara RM5 juta hingga RM6 juta daripada jumlah itu perlu digunakan untuk menanggung gaji keseluruhan pemain bagi semusim.

Katanya, kelab boleh sahaja membentuk pasukan dengan kos RM5 juta hingga RM6 juta, namun skuad terbabit mungkin bergelut atau menjadi pasukan belasahan pasukan besar.



“Paling minimum kelab kena ada dana RM10 juta, itu untuk membentuk skuad yang boleh dikatakan mampu bersaing dan tidak menjadi pasukan belasahan.

“Gaji pemain import yang berkualiti tinggi ada yang mencecah hingga AS$30,000 (RM143,000). Namun, ada yang bergaji lebih rendah iaitu RM20,000 sebulan, bergantung kepada kualiti mereka.

“Perbelanjaan untuk membayar gaji pemain memang tinggi dan sebab itu ia harus dirancang sebaik mungkin oleh kelab untuk mengikat mana-mana pemain. Ini kerana jika silap langkah, pasukan akan berdepan isu tunggakan gaji,” katanya kepada BH Sukan.

Nilai gaji pemain harus menjadi keutamaan kelab bagi mengelak berlaku masalah besar iaitu isu tunggakan gaji dengan kemelut itu juga semakin parah apabila sudah melanda beberapa pasukan ternama seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City.



Semalam, BH Sukan melaporkan legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menganggap hanya lima pasukan termasuk Johor Darul Ta’zim, Selangor, Terengganu, Sri Pahang dan Perak sebagai antara yang mampu memberi saingan dalam Liga Super musim ini susulan masalah kewangan yang dihadapi beberapa pasukan lain.

Selain itu, Effendi yang sudah lebih 20 tahun bertindak sebagai ejen pemain turut menganggarkan pasukan perlu menyediakan RM40,000 hingga RM80,000 sebulan untuk membayar gaji seorang pemain berstatus kebangsaan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan jumlah itu mungkin boleh berkurangan berdasarkan situasi semasa beberapa pasukan yang berdepan masalah kewangan dan sukar mendapatkan dana untuk berbelanja besar.

Katanya, gaji paling minimum atau ideal bagi pemain berstatus kebangsaan jika berlaku pengurangan adalah RM25,000.



“Bagi pemain yang bukan berstatus kebangsaan biasa menerima gaji antara RM5,000 hingga RM30,000 sebulan. Berdasarkan situasi sukar yang terpaksa ditempuhi beberapa pasukan ketika ini, tidak semua pemain akan mendapat gaji yang maksimum.

“Kelab mesti minta pengurangan dan pemain juga mungkin perlu menerima gaji yang kurang sedikit. Kita faham situasi yang terpaksa dihadapi sesetengah pasukan ketika ini bagi mengelak isu tunggakan gaji dan banyak pasukan akan menggunakan bajet minimum untuk mempersiapkan skuad mereka.

“Malah, ada pasukan yang masih belum tahu lagi bajet mereka untuk musim ini melainkan beberapa pasukan seperti Johor Darul Ta’zim, Selangor dan Terengganu,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button