PTAM cadang teruskan penganjuran kejohanan tempatan hadapi Sukan SEA 2021
Timbalan Persekutuan Tinju Malaysia Mohd Iruan Zulkifli
11/01/2021 04:29 PM
KUALA LUMPUR, 11 Jan — Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) bercadang untuk meneruskan penganjuran beberapa kejohanan tempatan walaupun berdepan situasi tidak menentu susulan penularan pandemik COVID-19 ketika ini.
Presiden PTAM Datuk Mohd Iruan Zulkifli, bagaimanapun, menegaskan persatuan berkenaan akan menunda kesemua kejohanan yang telah dirancang sekiranya penularan pandemik itu menunjukkan peningkatan ketara.
Antara kejohanan yang dirancang adalah Kejohanan Piala Malaysia, Kejohanan Golden Glove dan Piala Remaja, namun PTAM masih belum menetapkan tempat dan tarikh khusus untuk kesemua kejohanan itu.
“PTAM akan laksanakan perancangan yang sedia ada untuk memantapkan lagi prestasi skuad negara yang mana mereka perlu ada latihan dan kejohanan terbuka supaya bersedia dengan kejohanan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2021 di Vietnam nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada masa sama, Mohd Iruan turut menjelaskan skuad negara termasuk barisan jurulatih telah mula menjalani latihan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) di Taman Keramat, di sini, setelah disahkan negatif daripada ujian saringan COVID-19 yang diadakan di venue berkenaan, baru-baru ini.
Ditanya mengenai ketua jurulatih baharu negara Rustam Saidov, Mohd Iruan memaklumkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Sydney 2000 itu dijangka tiba di Malaysia pada hujung bulan ini dan diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 serta kuarantin selama 10 hari.
PTAM sebelum ini mengumumkan pelantikan bekas petinju dari Uzbekistan itu sebagai ketua jurulatih yang baharu untuk tempoh dua tahun bermula awal Januari tahun ini.
Selain muncul juara Asia pada 1999, 2002 dan 2007, Saidov turut merangkul pingat emas pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan dan Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar sebelum memulakan kariernya sebagai jurulatih.