SEMPENA ULANG TAHUN KE-65 – MEK HABSAH TERIMA SUMBANGAN DUA MESIN OKSIGEN

“Sebelum ini saya ada mesin oksigen yang sudah lebih lapan tahun digunakan dan sudah tidak lagi sesuai. Perkara ini diketahui individu kenamaan lantas menghulur sumbangan mesin bantuan pernafasan bernilai RM12,000,” kata penyanyi, pelakon dan pelawak era 1980-an, Mek Habsah yang tersentuh apabila menerima dua mesin bantuan pernafasan oksigen sumbangan individu kenamaan dan pertubuhan amal, Kitafund.

Lebih bermakna lagi apabila sumbangan tersebut diterimanya sempena ulang tahun kelahiran yang ke-65, Jumaat lalu. Mek Habsah atau nama sebenar, Habsah Bakar sudah lebih 20 tahun menderita sakit paru-paru kronik dan sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini saya ada mesin oksigen yang sudah lebih lapan tahun digunakan dan sudah tidak lagi sesuai. Perkara ini diketahui individu kenamaan lantas menghulur sumbangan mesin bantuan pernafasan bernilai RM12,000,” katanya.



Ditanya siapa gerangan insan budiman itu, Mek Habsah berkata, individu terbabit enggan dikenali: “Malah, diajak bergambar dengan saya bersama mesin ini pun beliau enggan. Saya amat berbesar hati dengan keikhlasannya membantu.

“Terima kasih juga kepada artis muda, Izzmad Harun yang prihatin membantu melalui platform Kitafund,” katanya ditemui pada majlis penyerahan sumbangan di restoran yang diusahakannya, Mek Habsah Corner, baru baru ini.

Mek Habsah berkata, dengan dua mesin oksigen diterima, dia tidak perlu risau lagi setiap kali berada di rumah atau keluar berniaga.

“Selama ini, saya terpaksa bergantung hampir 20 jam sehari dengan mesin oksigen akibat kegagalan organ paru-paru yang agak kronik. Apabila mempunyai dua mesin, satu daripadanya boleh letak di rumah, manakala satu lagi dibawa ke mana-mana. Semoga jasa dan budi baik semua pihak yang bermurah hati menghulurkan sumbangan diberkati,” ujarnya.



Sementara itu, Izzmad berkata, bantuan kepada Mek Habsah adalah fasa ketiga dalam projek Nilai Kasih Selalu Di Jiwa. Sebelum ini, Kitafund membantu Raisha Mikayla yang perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di India dan Riyadh Adrian Sabriel Al Hayden Osman yang disahkan mengalami tumor prostatik.

“Ini usaha kecil saya yang dibantu ramai pihak dan teman artis. Ketika COVID-19, ramai berdepan kesempitan hidup. Bagi saya, hidup lebih bermakna apabila kita memberi sumbangan dan bantuan. Saya sendiri bangga dapat membantu Mek Habsah,” tuturnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button