Uganda bakal anjur kejohanan badminton antarabangsa pada Februari

Hebahkan !!!

11/01/2021 02:07 PM

KAMPALA, 11 Jan — Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memberi lampu hijau kepada Kejohanan Badminton Antarabangsa 2021 Uganda yang dijadualkan pada 25-28 Februari di ibu kota Kampala, kata seorang pegawai tertinggi sukan di sini pada Ahad.

Pengarah Eksekutif Persatuan Badminton Uganda Simon Mugabi, memberitahu Xinhua dalam satu temu bual kejohanan akan berlangsung dengan mematuhi langkah ketat pencegahan COVID-19.

“Musim 2020 sangat terkesan dengan beberapa acara di seluruh dunia dibatalkan kerana COVID-19. Kami gembira kerana dapat menjadi tuan rumah satu daripada kejohanan terbesar di Afrika pada suku pertama tahun ini,” kata Mugabi.

Menurut beliau semua pemain dan pelawat yang hadir untuk kejohanan dibenarkan memasuki negara ini selepas mengemukakan keputusan ujian COVID-19 negatif yang dibuat dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas ke Uganda.

Mugabi berkata ujian tersebut diwajibkan kepada semua penumpang yang masuk dan berlepas walaupun negara destinasi tidak memerlukannya.

Kejohanan Badminton Antarabangsa Uganda 2021 dikategorikan sebagai kejohanan Siri Antarabangsa, sebahagian rangking BWF dan siri Badminton Konfederasi Afrika, menurut Mugabi.

Beliau berkata kejohanan itu menampilkan perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, dan beregu campuran, yang menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang setiap kategori.

Gergely Krausz dari Hungary dan Thet Htar Thuzar dari Myanmar masing-masing memenangi kategori perseorangan lelaki dan wanita dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa Uganda 2020.

Leave a Reply

%d bloggers like this: