Hanya sebungkus roti dibenarkan

a store filled with lots of food: GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

© Provided by Harian Metro GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP am

Ayer Keroh: Hanya sebungkus roti putih dibenarkan dibeli pelanggan pasar raya dan kedai runcit di negeri ini dalam satu-satu masa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketetapan yang berkuatkuasa hari ini adalah bagi mengekang pembelian panik serta pembaziran dalam kalangan masyarakat terutama selepas pengumuman pelaksanaan PKP di Melaka.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar, berkata, turut dihadkan pembelian adalah minyak masak, tepung gandum dan gula pasir dengan setiap pengguna hanya dibenarkan membeli dua bungkus bersamaan dua kilogram.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa mengambil inisiatif berkenaan berdasarkan kepada pengalaman pelaksanaan PKP 0.1 lalu yang menyaksikan pengguna membeli roti putih serta barangan keperluan harian lain secara panik dan berlebihan menyebabkan stok produk berkenaan habis di pasaran.

“Sebenarnya roti putih masih banyak di Melaka cuma kita mahu mengekang pembelian panik dalam kalangan masyarakat dengan menghadkan kepada sebungkus sehari untuk setiap pembeli.

“Bagaimanapun, had itu hanya untuk satu jenama sahaja dan mereka masih boleh mendapatkan bekalan roti putih bagi bungkusan kedua untuk jenama lain pula,” katanya selepas mengiringi Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Wira Ismail Othman di Pasaraya Mydin, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan berhubung ketetapan terbabit kepada semua peruncit dan pasar raya besar di negeri ini.

Sementara itu Ismail berkata, tiada sebarang kekurangan bekalan keperluan harian di Melaka dan pihak KPDNHEP negeri akan sentiasa memantau keadaan keperluan barangan berkenaan di semua premis jualan di negeri ini.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang laporan mengenai pembelian panik di Melaka, namun pihaknya mengambil langkah awal dengan memastikan barangan di semua sektor peruncitan mencukupi sebagai persediaan berhadapan dengan PKP.

“Berdasarkan data yang dikumpul oleh Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP Melaka, bekalan beberapa barangan keperluan harian masih kadar yang memuaskan.

“Barangan itu adalah gula pasir yang kini mempunyai stok sebanyak 260,800 kilogram (kg), diikuti tepung gandum (152,300kg), minyak masak bersubsidi (212,500kg), minyak masak tiada subsidi (372,000kg), telur (1.1 juta biji), beras (1.4 juta kg), roti putih (22,100kg) dan ayam (13,000kg).

Leave a Reply