Projek solar hibrid: Mahkamah tolak permohonan ahli perniagaan untuk penghakiman terus


Rayyan Radzwill Abdullah

 

13/01/2021 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Mahkamah Tinggi akan memutuskan saman yang difailkan seorang ahli perniagaan terhadap rakan kongsinya yang juga bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd berhubung isu pembayaran membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas perbicaraan penuh.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Rayyan Radzwill Abdullah untuk mendapatkan penghakiman terus dalam samannya terhadap Saidi Abang Samsudin.

Mahkamah turut menolak permohonan Saidi untuk membatalkan saman itu.

Penghakiman terus ialah mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Rayyan, 42, memfailkan saman itu pada 29 Feb tahun lepas yang mendakwa rakan perniagaannya itu gagal melunaskan baki RM9 juta atas perkhidmatan yang diberikan dalam usaha mendapatkan projek solar hibrid terbabit.

Dalam penghakimannya, Ahmad berkata mahkamah berpuas hati bahawa Saidi selaku defendan telah berjaya membuktikan bahawa terdapat isu bona fide yang perlu dibicarakan dalam kes itu dan beliau harus diberi peluang untuk membela diri melalui perbicaraan penuh.

Beliau berkata antara isu bona fide itu ialah hujah Saidi bahawa Rayyan, selaku plaintif, telah gagal membuktikan kewujudan perjanjian secara lisan.

“Defendan berhujah bahawa plaintif gagal membuktikan kewujudan perjanjian secara lisan dan telah bergantung kepada surat ‘tanpa prasangka’ bagi menyokong dakwaan itu namun dokumen tersebut tidak boleh diterima di bawah Akta Keterangan.

“Ini merupakan isu bona fide yang sah dan perlu dibicarakan untuk membolehkan kedua-dua pihak berhujah serta menyuarakan pendapat. Atas sebab-sebab yang telah disebutkan di atas, permohonan plaintif untuk mendapatkan penghakiman terus ditolak tanpa sebarang perintah berhubung kos,” katanya.

Berhubung permohonan Saidi untuk membatalkan saman itu, Ahmad berpendapat jika dibenarkan, plaintif akan kehilangan segalanya dan tidak dapat meneruskan usaha untuk mendapatkan keadilan jika mahkamah sudah menutup pintu dalam kes tersebut.

“Defendan masih mempunyai peluang kedua jika permohonan ini tidak dibenarkan kerana perbicaraan akan diteruskan dan beliau mempunyai peluang untuk membentangkan kesnya di mahkamah. Justeru, permohonan sedemikian hendaklah hanya dibenarkan dalam keadaan yang mewajarkannya,” kata beliau.

Peguam Ravee G. Uthirapathy, yang mewakili Rayyan, memaklumkan pemberita bahawa mahkamah membuat keputusan itu hari ini dan ia telah dihantar kepada kedua-dua pihak menerusi e-mel.

Beliau berkata mahkamah juga telah menetapkan 8 Feb depan untuk pengurusan kes secara dalam talian menerusi sistem e-review.

Dalam penyataan tuntutan, Rayyan mendakwa pada awal 2016, Saidi, 62, telah melantik beliau sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid dan sebagai balasan, defendan berjanji untuk membayar yuran sebanyak RM10 juta apabila projek berjaya diperoleh.

Beliau mendakwa pada 10 Dis 2016, defendan telah berjaya memperoleh projek itu dengan nilai kasar sebanyak RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hasil usaha dan kerja-kerja yang dilakukan plaintif.

Pada 10 Ogos 2017, defendan telah membayar RM1 juta kepadanya dan sehingga kini, baki bayaran sebanyak RM9 juta masih tertunggak dan belum dilunaskan oleh defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut baki bayaran RM9 juta serta ganti rugi RM20 juta akibat kehilangan peluang pelaburan, ganti rugi am, faedah dan kos.

Saidi, dalam penyataan pembelaan difailkan 6 April tahun lepas, menafikan bahawa beliau pernah melantik plaintif sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid itu selain mendakwa perjanjian untuk projek itu dimeterai antara Jepak Holdings dengan KPM, dan bukan atas kapasiti persendirian defendan.

Saidi juga memfailkan tuntutan balas terhadap Rayyan agar ahli perniagaan itu memulangkan wang RM1 juta yang dibayar kepadanya dengan serta-merta.

Rayyan dan Saidi merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta serta dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid itu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker