Pencemaran Sungai Bahai terus berulang

Kluang: Ratusan pemancing udang galah di Sungai Kahang melahirkan rasa kesal kerana pencemaran limpahan air berwarna keputih-putihan dari Sungai Bahai terus berulang walaupun beberapa laporan sudah dimajukan kepada pihak berkaitan.

Turut menyatakan kerungsingan kira-kira 100 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Peroh kerana sungai berkenaan merupakan sebahagian nadi sumber pendapatan harian mereka.

Menurut seorang pemancing, Rosman Mazlan,45, kejadian seumpama ini bukan kali pertama berlaku namun ianya dikatakan berulang hampir setiap minggu.

Katanya, kebiasaannya pelepasan air berkenaan berlaku ketika cuti hujung minggu iaitu pada hari jumaat sedangkan ketika itu puluhan kaki pancing sedang mencari rezeki di Sungai Kahang.

“Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi kerana walaupun dikatakan sudah dilakukan siasatan oleh pihak berkaitan namun ianya tidak menjamin kegiatan melepaskan air seperti ini ke dalam sungai dihentikan.

“Apa yang membimbangkan adalah dengan pelepasan air kotor seperti ini mampu memusnahkan ekosistem di dalam sungai yang secara tidak langsung menyebabkan ikan dan udang galah pupus,” katanya.

Rosman berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian pelepasan air putih di Sungai Bahai yang berlaku kira-kira jam 6 petang semalam

Dalam pada itu, penduduk Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Liong Marlina,37, baru-baru ini kejadian melepaskan air putih seperti ini sudah disiarkan oleh sebuah rangkaian tv.

Katanya, apa yang diharapkan melalui penyiaran itu ianya tidak akan berulang namun apa yang berlaku sejak dua minggu lalu bagaikan tidak berakhir dan ianya terus berulang.

“Mungkin ianya tidak melibatkan sebarang pencemaran namun pelepasan air putih seperti ini sememangnya menjejaskan sumber tangkapan ikan dan udang galah di Sungai Bahai.

“Kami amat berharap agar satu tindakan segera dapat dilakukan sebagai usaha untuk melindungi kebajikan penduduk kampung serta pemancing udang galah yang menjadikan Sungai Kahang dan Sungai Bahai sebagai punca rezeki tambahan keluarga masing-masing,” katanya. – My-tv online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker