COVID-19: Tujuh atlet negara dibenar keluar daripada pusat kuarantin


Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN)

14/01/2021 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan — Tujuh atlet negara dan seorang pegawai pengiring sukan boccia yang sebelum ini disahkan positif COVID-19 sudah dibenarkan keluar daripada Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) Hospital Sungai Buloh dan MAEPS Serdang pada Selasa lepas.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail memaklumkan kesemua individu berkenaan kini berada di Casa MSN untuk tujuan pemulihan kecergasan yang akan dilaksana Institut Sukan Negara (ISN) sebelum dibenarkan kembali menjalani latihan seperti biasa.



Beliau turut mengesahkan lima pegawai MSN yang sebelum ini dikesan positif COVID-19 dibenarkan keluar daripada kedua-dua pusat kuarantin berkenaan pada hari ini.

Dua pegawai MSN yang dikesan positif COVID-19, masing-masing pada 8 dan 10 Jan lepas masih menjalani kuarantin di MAEPS Serdang manakala seorang atlet wushu negara yang disahkan positif pandemik itu pada 9 Jan masih menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Sebelum ini, MSN mengesahkan tujuh atlet negara dengan masing-masing dua atlet dari sukan olahraga, tenis berkerusi roda dan bola keranjang kerusi roda, selain masing-masing seorang atlet tenpin boling cacat pendengaran dan pegawai pengiring sukan boccia, disahkan positif COVID-19.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi memaklumkan kem latihan berpusat secara kuarantin melibatkan 632 atlet podium, podium para, pelapis kebangsaan dan jurulatih negara daripada 28 jenis sukan akan diteruskan seperti biasa.



Kem latihan berpusat berkenaan melibatkan lima venue iaitu Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar di Langkawi dan Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

“Kem latihan berpusat MSN diteruskan setelah mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) hari ini (14 Jan) dengan syarat semua atlet dan jurulatih tidak dibenar keluar kecuali ke tempat latihan masing-masing secara terkawal,” katanya.

Ahmad Shapawi berkata kemudahan pusat latihan di kesemua venue itu hanya boleh digunakan oleh atlet dan jurulatih terlibat dalam program latihan MSN manakala pergerakan keluar masuk ke premis penginapan dan latihan selain daripada atlet dan jurulatih adalah tidak dibenarkan, di samping latihan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum ini.

Bagi memudahkan pengawasan dan pemantauan kem latihan berpusat berkenaan, Shapawi memaklumkan MSN telah memindahkan atlet dan jurulatih para negara yang berada di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan ke Kompleks MSN di Bukit Jalil.



Seramai sembilan pegawai urusetia, 33 kru perkhidmatan kafetaria atlet serta 47 pegawai khidmat sokongan Sains dan Perubatan Sukan daripada ISN akan bertugas secara sepenuh masa sepanjang kem latihan itu.

Sementara itu, Ahmad Shapawi memaklumkan seramai 355 atlet dan jurulatih daripada 11 jenis sukan di Bukit Jalil dan Kampung Pandan dibenarkan untuk break camp sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula semalam.

Atlet di Pusat Pelayaran Langkawi juga bebas COVID-19 – Shapawi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button