Duit Dynas lesap

 

Oleh Pena Merah

Duit Dynas lesap
Dynas nasihat jangan letak duit banyak dalam akaun bank yang guna kad debit agar tidak lesap.

Pelakon Dynas Mokhtar mendedahkan kehilangan hampir semua wang simpanan dan hanya menyedarinya ketika membuat pemindahan wang untuk membayar gaji pembantu peribadi.

Pendedahan itu dibuat pelakon berusia 40 tahun itu menerusi hantaran video dimuat naik dalam Instagram.

Bagaimanapun, Dynas atau nama sebenarnya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar tidak dapat mendedahkan institusi kewangan kerana kes masih dalam siasatan.

“Saya pulang ke rumah dan berhasrat membuat pembayaran gaji pembantu peribadi selepas habis penggambaran.

“Ketika itulah baru perasan hampir semua wang simpanan lesap.

“Saya tidak memiliki kad kredit, sebaliknya memilih menggunakan kad debit kononnya untuk mengelak daripada berhutang. Bila menyemak penyata akaun, saya melihat ada transaksi mata wang asing yang pelik-pelik.

“Tapi, saya tidak boleh dedahkan terlalu banyak sebab perkara ini masih dalam siasatan dan laporan polis juga sudah dibuat.

“Jika perasan saya ada muat naik hantaran seolah-olah berikan bayangan masalah yang hadapi sejak akhir-akhir ini. Saya bersyukur ramai yang sudi membantu,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dynas yang menggeletar ketika berikan kenyataan dalam media sosial mohon doa orang ramai agar wangnya dikembalikan.

Malah, Dynas turut menasihati orang ramai lebih berhati-hati supaya kejadian sama tidak menimpa mereka.

“Doakan saya dapat kembali wang berkenaan. Saya tak mahu orang lain melalui pengalaman sama seperti saya.

“Ini berlaku bukan sebab klik pada pautan, tapi semua orang kena berhati-hati supaya tak dedahkan nombor kad debit.

“Selain itu, jangan letak duit banyak dalam akaun bank yang guna kad debit. Kita tak tahu mungkin ada orang yang boleh klon kad, sedangkan di situlah segala wang kita letakkan kononnya tak perlu berhutang bila nak buat sesuatu pembayaran.

“Simpanlah wang di tempat lebih selamat. Sekarang, semua wang sudah lesap, saya sudah tak tahu di mana atau apa lagi yang selamat sekarang.

“Kita berada di zaman pembayaran mudah alih (cashless), segala transaksi dibuat secara dalam talian, tapi adakah semua itu selamat? Doakan saya semua” pinta Dynas.

-Berita Harian-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker