Kisona langkah ke pusingan kedua selepas Saina positif COVID-19


S. Kisona (Gambar fail)

12/01/2021 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan — Pemain perseorangan wanita negara S. Kisona melangkah ke pusingan kedua Terbuka Thailand tanpa perlu mengeluarkan peluh, selepas lawannya Saina Nehwal dari India diuji positif COVID-19.

Kisona, 22, yang pada mulanya ke Bangkok sebagai teman latihan kepada rakan senegara Soniia Cheah, menyertai kejohanan itu selepas penarikan diri pemain Thailand Nitchaon Jindapol akibat kecederaan, pada mulanya akan berhadapan Saina bekas pemain nombor satu dunia itu, pada perlawanan pembukaan hari ini.



Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan yang Saina dan suaminya Kashyap Parupalli yang memberikan kemenangan percuma kepada pemain Kanada Jason Anthony Ho-Shue berikutan COVID-19, tanpa menamakan mereka yang dijangkiti.

β€œSeorang pemain India, positif dan kini dalam pengasingan untuk minima 10 hari di hospital. Pemain itu akan diuji lagi hari ini juga. Perlawanan melibatkan pemain ini dan teman sebiliknya, diisytiharkan menang percuma,” menurut BWF dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun Persatuan Badminton India menerusi Facebook mengenal pasti Saina pemenang pingat Olimpik itu, sebagai individu yang positif COVID-19 dalam ujian yang dijalankan di Bangkok.

Pada pusingan kedua Kisona, pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 dan berkedudukan ke-92 dunia, akan bertemu Busanan Ongbamrungphan (Thailand) yang menewaskan Sabrina Jaquet (Switzerland) 21-16, 21-7.



BWF berkata, keseluruhan pasukan India telah dikategorikan sebagai berisiko tinggi oleh pihak berkuasa kesihatan Thailand, dan kesemua pemain dan pengiring pasukan menjalani kuarantin kendiri di bilik hotel masing-masing dan dikenakan ujian PCR hari ini.

β€œSetiap individu akan dikenakan ujian harian, sehingga tempoh yang dimaklumkan kelak oleh Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit, namun pemain akan dibenarkan untuk terus bermain apabila ujian adalah negatif. Pemain India yang dijadualkan bermain hari ini akan dibenarkan masuk ke venue. Tiada jurulatih, pengurus atau anggota dari pasukan India dibenarkan masuk,” menurut badan dunia itu.

Sementara itu beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani juga melangkah ke pusingan kedua, selepas menewaskan pasangan Korea Selatan Ko Sung Hyun/Shin Baek Cheol 21-16, 19-21, dan 21-11.

β€œKami bermain mengikut strategi, kami berbincang dengan jurulatih dan berusaha untuk menang dan tidak membenarkan mereka menyerang. Kami mempunyai beberapa perkara yang perlu diperbaiki dalam perlawanan selanjutnya, perlu lebih konsisten kerana saya rasakan saya buat banyak kesilapan, tetapi gembira untuk terus bermain,” kata Goh.

Impian Kisona ke Olimpik bermula sejak berusia 4 tahun

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker