Mekanik didenda RM100 kerana maki bapa selepas berang ditegur

15/01/2021 04:08 PM

PETALING JAYA, 15 Jan — Akibat mengeluarkan kata-kata kesat terhadap bapanya selepas tidak berpuas hati ditegur kerana meletakkan tin biskut di atas katil, seorang mekanik didenda maksimum RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol mengenakan denda itu terhadap A. Andrew, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah menggunakan perkataan kurang sopan terhadap A. Arulnathan, 63.

Mahkamah turut memerintahkan Andrew dipenjara dua hari sekiranya dia gagal membayar denda.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Desa Perangsang, di sini pada 7 malam, 10 Jan lepas, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil-kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh, namun Andrew yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan baru sahaja bekerja sebagai mekanik dan ketika kejadian dia dalam keadaan mabuk.

Di mahkamah sama, seorang anggota polis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal hadir bertugas selama 25 hari berturut-berturut tanpa sebab yang munasabah.

Mohd Hayier Hatta, 23, didakwa tidak hadir bertugas dari 7 Jun hingga 1 Julai 2019, di Balai Polis Bukit Puchong, dekat sini pada 5.15 petang, 2 Julai 2019, dan didakwa mengikut Seksyen 86 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Muhammad Iskandar membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Leave a Reply