Skuad hoki Malaysia beralih kepada latihan dalam talian


Barisan pemain skuad Hoki Kebangsaan melakukan sesi panas badan sebelum memulakan sesi latihan skuad hoki kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.

13/01/2021 08:37 PM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Skuad hoki kebangsaan telah beralih ke latihan dalam talian berikutan penangguhan Liga Hoki Malaysia 2021 (MHL) kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu, mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata berikutan perkembangan terkini, pasukan itu memilih kaedah latihan dalam talian berbanding latihan berasaskan kuarantin di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Beliau berkata tiga jurulatih kebangsaan – jurulatih pasukan lelaki A. Arul Selvaraj, Nasihin Nubli Ibrahim (skuad projek wanita) dan Wallace Tan (junior lelaki) – telah menyampaikan program latihan mereka kepada jawatankuasa KHM baru-baru ini.

“Setelah perbincangan menyeluruh dengan jurulatih, staf sokongan, ahli jawatankuasa dan presiden Datuk Seri Subahan Kamal, semua bersetuju bahawa pemain tidak boleh ditempatkan di MSN kerana sekatan dan batasan pergerakan yang ketat.

“Jadi untuk dua minggu ini, para pemain akan menjalani program latihan dalam talian yang disediakan dan diawasi oleh jurulatih masing-masing. Kami akan memutuskan tindakan seterusnya jika kerajaan membuat pengumuman lanjut (selepas ini), tetapi kami masih mempunyai beberapa pilihan,” katanya kepada Bernama hari ini.

KHM pada akhir bulan lalu telah melepaskan pemain dari pasukan ‘Speedy Tigers,’ ‘Malaysian Tigress’ dan pasukan lelaki ke kelab masing-masing menjelang MHL, yang dijadualkan bermula Khamis.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM Datuk Seri Anil Jeet Singh mengesahkan liga hoki telah ditunda berikutan pelaksanaan PKP di enam negeri dan dijangka akan diadakan pada Julai atau Ogos ini.

Berikut adalah senarai kejohanan yang dijadualkan untuk pasukan kebangsaan pada tahun 2021:

Pasukan lelaki

——————

– Trofi Juara-juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada 11-19 Mac

– Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak pada 18-27 Jun

– Piala Asia pada September/Oktober

 

Pasukan Junior Lelaki

————————–

– Piala Remaja Asia di Dhaka, Bangladesh pada 1-10 Julai

– Piala Sultan Johor di Johor Bahru Pada 4-12 Sept

 

Pasukan Wanita

———————-

– Trofi Juara-juara Asia di Donghae, Korea Selatan pada 31 Mac – 7 April

– Piala Remaja Junior di Kakamigahara, Jepun pada 11-17 April

– Piala Asia pada September/October

 

(Nota: bergantung kepada pengumuman terkini ketika pandemik COVID-19)

— BERNAMA

KHM tangguh Liga Hoki Malaysia 2021

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker