Remaja culik bayi kerana terlalu comel

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan lima individu termasuk seorang remaja perempuan yang juga suspek utama dalam insiden melarikan seorang bayi sembilan bulan dari sebuah pangsapuri di Bukit Tengah, di sini, kelmarin.

Lima individu berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi di sebuah pondok di Machang Bubok, di sini dan sebuah rumah di Kulim, Kedah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Assisten Tan Cheng San, berkata polis melancarkan serbuan sebaik menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 24 tahun.

“Pada ketika itu, ibu mangsa mahu mengambil anaknya dari rumah pengasuh pada jam 5.30 petang sebelum pengasuh berusia 65 tahun memberitahu cucunya berusia 14 tahun membawa lari mangsa ketika dia solat.

“Ibu mangsa bertanya kepada pengawal keselamatan dan dimaklumkan suspek mendukung mangsa dengan berjalan kaki dan kemudian menunggang motosikal. Ibu mangsa cuba menghubungi suspek namun tidak berjaya sebelum membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis kemudian membuat tangkapan ke atas suspek utama dan teman lelakinya berusia 18 tahun, termasuk rakan kepada teman lelaki suspek yang juga berusia 18 tahun di sebuah pondok di Machang Bubok pada jam 11.50 malam, hari sama.

“Tangkapan ini membawa polis ke sebuah rumah di Kulim yang mana menjadi tempat bayi perempuan itu berada.

“Siasatan mendapati suspek utama membawa mangsa di pondok di Machang Bubok terlebih dahulu, sebelum bapa tiri teman lelaki suspek berusia 30 tahun datang dengan memandu van kilang, kemudian membawa mangsa ke sebuah rumah di Kulim.

“Ketika serbuan di Kulim, bayi itu dijaga ibu teman lelaki suspek yang berusia 43 tahun dan polis menahan kelima-lima mereka untuk siasatan lanjut,” katanya.

Cheng San berkata, kelima-lima suspek yang tiada rekod jenayah lampau kini direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

“Siasatan ke atas suspek utama memaklumkan dia melarikan bayi itu kerana mangsa terlalu comel.

“Suspek turut mendakwa bayi itu adalah anaknya hasil hubungan dengan teman lelaki. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui motif sebenar sama ada ia mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan bayi,” katanya.

Difahamkan, bayi yang diselamatkan polis itu mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Bayi berkenaan yang juga anak tunggal dijaga pengasuh yang juga nenek suspek utama sejak lapan bulan lalu dengan bayaran RM500 sebulan.

Selain mangsa terdapat tiga lagi kanak-kanak lain yang dijaga pengasuh berkenaan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker