TSG sasar kedudukan tiga pasukan terbaik Jelajah Asia musim ini

12/01/2021 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan — Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) menyasarkan untuk meraih kelompok tiga pasukan terbaik dalam Jelajah Asia pada musim ini selepas berjaya mendapatkan semula khidmat bekas pelumba mereka iaitu Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff dari Team Sapura Cycling (TSC).

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, pelumba kelahiran Setiu berusia 23 tahun itu yang dinobatkan selaku Raja Bukit pada Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, menawarkan diri untuk kembali ke pasukan berkenaan setelah berkhidmat dengan TSC selama tiga musim sejak 2018.

Che Ku Mohd Izmuddin turut mengesahkan pengurusan TSG bersetuju mengekalkan sebahagian besar pelumba pasukan berkenaan termasuk lima pelumba asing dengan kontrak satu tahun.

“Beliau (Muhammad Nur Aiman) masih muda lagi dan merupakan aset kepada TSG, dan saya berharap kehadiran beliau dapat membantu pasukan kita meraih kejayaan pada musim ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

“Sasaran utama kita adalah mengumpul sebanyak mungkin mata dalam Jelajah Asia pada musim ini kerana kita sudah banyak kehilangan mata pada musim lepas kerana tidak dapat mengikuti beberapa perlumbaan yang sudah dirancang disebabkan pandemik COVID-19,” jelasnya.

Dalam pada itu, Che Ku Mohd Izmuddin berkata TSG tetap meneruskan perancangan untuk menyertai latihan pusat di Turki pada awal bulan depan walaupun benua Eropah kini sedang berdepan dengan ancaman pandemik berkenaan.

Beliau menjelaskan pengurusan pasukan telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi kesemua pelumba pasukan berkenaan sepanjang berada di Turki.

“Kita dijangka berlepas ke Turki pada penghujung bulan ini,” katanya.

TSG sebelum ini dilaporkan bakal menyertai empat kejohanan di Turki pada Feb 2021, termasuk satu kejohanan berstatus 2.1 (perlumbaan peringkat) iaitu Jelajah Antalya dari 11 hingga 14 Feb.

Tiga kejohanan lain adalah Grand Prix (GP) Gazipasa pada 7 Feb, GP Velo Manavgat (20 Feb) serta GP Velo Alanya (21 Feb), dan kesemua perlumbaan berkenaan berstatus 1.2 (perlumbaan sehari).

Selain empat kejohanan di Turki, TSG dijangka menyertai Jelajah Rwanda (Tour du Rwanda) 2021 dari 21 hingga 28 Feb ini.

TSG mengekalkan khidmat pelumba adik beradik, Mohd Zamri dan Mohd Harrif Saleh, selain lima pelumba asing iaitu Metkel Eyob dari Eritrea, Goh Choon Huat (Singapura), Artem Ovechkin (Rusia), Carlos Julian Quintero (Colombia) dan Youcef Reguigui (Algeria).

Pelumba tempatan lain terdiri daripada Wan Abdul Rahman Hamdan, Irwandie Lakasek, Mohd Shahrul Mat Amin, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Muhamad Afiq Huznie Othman.

TSG muncul pasukan kedua terbaik Jelajah Asia pada musim lepas setelah mengumpul 864 mata, manakala TSC muncul juara menerusi kutipan 1,113 mata.

Senarai pelumba TSG diputuskan dalam tempoh terdekat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker