Pindah keluarga teratak usang

Oleh – Syeikh Baran


Pindah keluarga teratak usang
PONDOK dalam hutan dihuni Mohd Hidayat bersama isteri dan lima anak mereka sebelum ini. FOTO Ihsan Mohd Ashraff Khan Md Najib

Membantu memindahkan tujuh sekeluarga yang menghuni pondok usang dalam hutan di sebuah estet di Batu Pahat, Johor ke rumah lebih selesa pada Ramadan 2019 antara kenangan sukar dilupakan Mohd Ashraff Khan Md Najib, 42.

Kedaifan kehidupan keluarga itu dan ‘berjiran’ dengan hutan belukar selama tiga tahun, meruntun jiwa Mohd Ashraff yang sudah lapan tahun terbabit dalam aktiviti kebajikan Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project).

Katanya, dia kehilangan kata-kata tatkala menjejakkan kaki ke lokasi pondok yang menjadi tempat berlindung keluarga terbabit.

“Pada masa itu saya tidak menyangka masih ada insan yang tinggal dalam pondok yang daif tanpa sebarang kemudahan dan terdedah dengan ancaman haiwan berbisa seperti ular serta lipan.

“Difahamkan keluarga ini mendiami pondok itu atas ihsan tuan tanah dan pondok berkenaan adalah serpihan bangunan terbengkalai. Mereka menggunakan papan lapis serta zink untuk menutupi bahagian terbuka,” katanya.

Menyorot kembali kenangan itu, Mohd Ashraff berkata, selepas mendapat maklumat, dia menggerakkan pasukan menyiasat latar belakang keluarga terbabit bagi mengetahui kisah sebenar mereka mendiami dalam hutan.

“Kemudian serta-merta kami meminta ketua kampung dan penduduk kampung mendapatkan sebuah rumah buat keluarga ini supaya mereka boleh dipindahkan daripada hutan.

“Alhamdulillah hasil kerjasama itu kami dapat memindahkan keluarga terbabit dari hutan ke rumah sewa sementara selama enam bulan atas pembiayaan sepenuhnya Empire Project,” katanya.

Mohd Ashraff berkata, Mohd Hidayat Mohd Fadzil, 47, selaku ketua keluarga itu sebenarnya mempunyai sebidang tanah pusaka di kampung, tetapi disebabkan faktor kemiskinan dia tidak dapat berbuat apa-apa.

“Usaha daripada Majlis Agama Islam Batu Pahat dan rakan strategik di daerah berkenaan, akhirnya keluarga terbabit menerima bantuan rumah di bawah Projek Baiti Jannati Tahun 2020 Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Sejak itu kehidupan keluarga ini semakin baik yang mana mempunyai kediaman lebih selesa dan tidak lagi bertemankan cahaya pelita minyak tanah.

“Saya masih berhubung dengan Mohd Hidayat dan dia kini memilik mesin pemotong rumput serta mengambil upah memotong rumput di rumah penduduk sekitar kampung bagi menampung kehidupan keluarganya,” katanya.

Jelasnya, sebelum ini Mohd Hidayat tidak boleh bekerja kerana pelbagai masalah kesihatan dialaminya iaitu cakera tergelincir, saraf, kecelaruan keresahan dan guttate psoriasis serta bergantung kepada ubat-ubatan.

“Keadaan ini membuatkan keluarga itu dihimpit kemiskinan dan kesukaran hidup.

“Sumber pendapatan utama keluarga ini adalah bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal.

“Selain itu, kami juga membantu mendaftarkan sekolah untuk anaknya yang sebelum ini enggan ke sekolah kerana malu dengan kemiskinan keluarganya,” katanya.

Mohd Ashraff berkata, dia sangat bersyukur dapat membantu keluarga terbabit dan pengalaman itu membuatkannya terus bertekad mahu membantu lebih ramai orang susah.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker