ASEAN mampu muncul kuasa ekonomi digital: Pakar Pemasaran


Christopher Tock

15/01/2021 06:52 PM

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR, 15 Jan — Rantau ASEAN mampu menjadi kuasa yang boleh diharap dan mampu mengembangkan potensi pertumbuhan ekonomi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Digitally.asia, Christopher Tock, berkata ketika ASEAN berusaha meningkatkan kadar capaian jalur lebar, pasaran serantau seharusnya mencipta permintaan untuk menjayakan perkongsian swasta dan awam ke arah blok ekonomi digital yang kukuh.

“Meskipun ada pertumbuhan terutama di negara membangun, kuasa ASEAN tidak boleh dipinggirkan apabila dikaitkan dengan proses menerima pakai ekonomi digital.

“Yang pasti, negara ASEAN berada pada kedudukan terbaik untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas mengenai momentum pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia, Tock berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan pertama Mac lalu, Malaysia menyaksikan pertumbuhan 53 peratus pembeli dalam talian – menurut kajian penyelidikan pasaran oleh Vodus baru-baru ini.

“Pasaran terpaksa mengubah kaedah pemasaran dan iklan kepada dalam talian, mahu atau tidak, mereka perlu melabur dalam e-dagang.

“Ia menjadikan pemilik perniagaan menghargai proses digitalisasi yang menjadikan perniagaan mereka lebih mampan dan dipacu data,” katanya.

Malaysia berada di kedudukan ke-38 daripada 141 negara di peringkat global dalam peringkat indeks kesediaan digital Global Cisco.

Mengenai insentif boleh diberikan kerajaan untuk mendorong perniagaan kecil dan sederhana (PKS) menerima pakai pendigitalan, Tock berkata lebih banyak kemudahan yang boleh dikongsi PKS perlu diwujudkan.

“Ia termasuk memberikan geran untuk membantu PKS melabur dalam proses transformasi digital dan memastikan agensi kerajaan turut melakukan proses pendigitalan sebelum memperkenalkan insentif ini untuk pastikan pelaksanaannya tidak gagal,” katanya.

Malaysia akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1), dijadualkan berlangsung secara sidang video pada 21 dan 22 Januari ini.

Bertemakan “ASEAN: A Digitally Connected Community”, mesyuarat bertujuan memperkukuh kerjasama dalam kalangan ASEAN untuk membangun ekosistem digital sebagai tonggak dalam rancangan pembangunan pasca-COVID-19.

ASEAN ditubuhkan pada 1967, dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Leave a Reply