Lelaki baling koktail molotov, cat merah ditahan

16/01/2021 11:51 PM

JOHOR BAHRU, 16 Jan — Polis hari ini menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam beberapa perlakuan membaling bahan letupan koktail Molotov dan cat merah di sekitar bandar raya ini, dua hari lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam DSP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata lelaki berumur 36 tahun itu ditahan di depan sebuah kedai runcit di Taman Ria, Plentong dekat sini pada kira-kira 7 pagi.



Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis mengenal pasti lelaki itu sebagai individu yang dipercayai membaling bahan letupan koktail Molotov di depan rumah seorang mangsa di Taman Molek di sini pada kira-kira 9.30 pagi selain cat merah di depan sebuah rumah lain di Taman Bukit Tiram pada kira-kira 11.15 pagi hari sama.

“Bertindak atas maklumat dan perkembangan siasatan kes, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seri Alam berjaya mengesan dan menahan lelaki itu di depan sebuah kedai runcit di Taman Ria, Plentong.

“Susulan penahanannya, polis merampas pelbagai barangan seperti pakaian dan topi keledar milik lelaki itu yang terdapat kesan percikan cat merah, penanda pena yang dipercayai digunakan untuk menulis nota ugutan yang akan ditinggalkan di pintu pagar rumah mangsa serta pemetik api yang dipercayai digunakan untuk menghidupkan sumbu koktail Molotov,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulanuar Mushaddat berkata siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod masih dikehendaki atas kesalahan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dan kes penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Inanam, Sabah.



Beliau berkata lelaki itu juga mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah manakala saringan awal air kencingnya didapati positif dadah jenis metamfetamin.

Lelaki itu akan ditahan reman bagi membantu siasatan berkaitan insiden tersebut dan kes lain di Seri Alam serta beberapa daerah yang turut melibatkan suspek.

“Pihak polis akan turut mengenal pasti dan mengesan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen (along) yang telah berurusan dengan lelaki itu dan dibayar RM300 sebagai upah bagi setiap kali perlakuannya,” katanya.

Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai insiden dan sindiket tersebut agar tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau melalui hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212 999 atau IPD Seri Alam di talian 07-3864 222.



Geng Mat Beruk dan Geng Azhar tumpas, kes curi lembu

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button