Penduduk pantai barat Sabah bimbang banjir memburuk ekoran hujan berterusan

Hebahkan !!!


Seorang penunggang motosikal mengharungi banjir yang menenggelamkan Jalan Kolupis Penampang hari ini. Beberapa jalan raya dan kawasan perumahan mula dinaiki air akibat hujan tidak henti sejak semalam.

7cbf7ccd524bbb404891a10f35be0e036003accc0cb24Sumber gambar: Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kota Kinabalu

17/01/2021 11:19 AM

KOTA KINABALU, 17 Jan — Hujan yang berlarutan sejak semalam menyebabkan penduduk di beberapa daerah di kawasan pantai barat Sabah, khususnya di sekitar daerah ini bimbang keadaan banjir semakin memburuk.

Setakat pukul 10 pagi ini, hujan yang turun sejak semalam masih berlarutan di beberapa daerah di Sabah termasuk Penampang, Kota Kinabalu, Sepanggar dan Tuaran.

Seorang penduduk di Kampung Babah Penampang, Piju Ladatang, 50-an, berkata hujan yang turun sejak pagi semalam menyebabkan kawasan pekarangan rumahnya mula dinaiki air pada 5 petang semalam.

Katanya, selepas sejam hujan turun, air kemudian mula memasuki rumah sehingga paras lutut dan memaksa dia serta keluarganya menaikkan beberapa barangan elektrik dan dokumen penting ke tempat selamat.

“Walaupun air melimpah masuk dengan cepat ke dalam rumah, kami bernasib baik kerana sempat mengemas barangan serta peralatan ke tempat yang lebih tinggi. Saya berharap hujan akan berhenti dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan banjir semakin memburuk,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Jupirin Sagang, 56, yang tinggal berhampiran pekan Donggongon berkata rumahnya dinaiki air sejak malam tadi, walaupun mula surut sejak awal pagi kini air dilihat naik semula ekoran hujan yang masih berlarutan.

“Banyak barang-barang yang berada di tingkat bawah rumah musnah seperti tilam dan banyak peralatan lain. Namun, barangan penting yang lain sempat dipindahkan ke tingkat atas rumah,” katanya sambil menambah ia adalah kali kelapan rumahnya dinaiki air sejak beberapa tahun lepas.

Tinjauan Bernama mendapati hanya beberapa jalan di kawasan Penampang boleh dilalui khususnya kenderaan pacuan empat roda. Antara jalan yang tenggelam dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan ialah Jalan Kiranau Inobong, Jalan Kolopis, Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Kibabaig dan Jalan Kivatu Kasigui.

Sementara itu, Jefri Gani, 38, penduduk di Kampung Kembirian, Menggatal berkata hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan termasuk pekan Menggatal dinaiki air.

“Rumah saya juga telah dinaiki air petang semalam, namun kini air telah surut…tetapi saya masih bimbang kerana hujan masih turun dan belum ada tanda-tanda hujan mahu berhenti. Kalau hujan berlarutan kemungkinan besar banjir kilat akan datang lagi,” katanya.

Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran dan Papar menjadi daerah terbaharu dilanda banjir sejak malam tadi, selain Pitas, Beaufort dan Paitan yang dilanda banjir sebelum ini.

Setakat 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 176 orang berbanding 122 orang malam tadi yang dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri dan di lima daerah terbaharu dilanda banjir itu, 39 mangsa dipindahkan di Kota Kinabalu, Penampang (11) dan Putatan (4) manakala tiada mangsa banjir dipindahkan di Tuaran dan Papar.

Leave a Reply

%d bloggers like this: