Pengalaman dua generasi berbeza tempuhi banjir di Sarawak


Gambar fail

17/01/2021 09:00 AM

Oleh Robert Kenneth

KUCHING, 17 Jan — Menghadapi banjir dalam tahun-tahun 1960-an, 70-an, mahupun 80-an di Sarawak, jika dilihat dari segi kemudahan disediakan, pusat pemindahan sementara, susun atur, bantuan dan lain-lain kemudahan yang disediakan kerajaan dan agensinya adalah amat berbeza sekali.

Walaupun setiap orang akan mempunyai pengalaman berbeza, tetapi perkongsian pengalaman daripada dua individu yang menghadapi banjir pada dua zaman berbeza yang ditemui Bernama baru-baru ini, jelas menunjukkan persediaan kerajaan dalam membantu rakyat yang menjadi mangsa banjir.

Frazer Bedoh, 57, dari Kampung Semadang, Padawan, dekat sini yang pernah merasai pengalaman sebagai mangsa banjir, menceritakan pengalamannya setiap kali berlakunya bencana banjir di kampungnya yang berlaku pada sekitar awal tahun 1970-an.

Menurutnya pada ketika itu, setiap kali hujan lebat kampung beliau adalah antara kawasan yang paling awal akan dilanda banjir, disebabkan lokasinya yang terletak di tebing sungai.

“Semuanya tidak disediakan. Kami terpaksa meredah arus sungai yang deras (Sungai Sarawak Kiri) menggunakan perahu sendiri, untuk menyelamatkan diri ke tempat yang selamat, sama ada di kampung berjiran atau di rumah saudara-mara, yang tidak dinaiki air bah,” katanya.

Frazer masih ingat ketika itu tidak ada pihak yang datang untuk menghulurkan bantuan, dan kalau ada pun setakat memberikan secupak beras (atau kira-kira 600 gram) dan setin ikan sardin ataupun beberapa ekor ikan masin.

“Kami terpaksa tidur di atas lantai beralaskan kertas dan plastik tanpa selimut. Bayangkan betapa sejuknya, ditambah pula dengan kehadiran nyamuk,” katanya mengenang kembali kesulitan yang dihadapinya ketika itu.

Beliau menambah pada masa itu, belum wujud lagi badan seperti jawatankuasa pengurusan bencana dan mangsa terpaksa mengendalikan sendiri kelangsungan hidup, malah wakil rakyat pun tidak dapat datang membantu.

Bagi Zarena Abdullah, 32, yang pada ketika Frazer mengharungi banjir pada tahun-tahun 70-an, beliau belumpun dilahirkan dan tidak merasai keadaannya pada ketika itu, namun apabila banjir berlaku di Kuching baru-baru ini, pengalaman yang diceritakan Zarena terlihat perbezaannya dalam perancangan yang disediakan kerajaan, dalam menguruskan mangsa banjir.

Sekarang ini, sebaik kediaman anda dinaiki air, pasukan penyelamat terdiri daripada anggota bomba dan penyelamat serta pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan tiba, untuk membantu membawa mangsa-mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Di PPS Dewan Kampung Sinar Budi Baharu Zarena berkata, sudah tersedia khemah untuk dijadikan bilik tidur, kemudian dibekalkan pula makanan tiga kali sehari, selain sumbangan pelbagai barangan keperluan segera.

Rumahnya di Kampung Sinar Budi Baharu, Batu Kawa telah dilanda banjir dan beliau bersama suami dan anak perempuan mereka, telah dipindahkan ke PPS itu sejak Rabu lalu dan berkata keadaan di PPS amat selesa, walaupun sedikit hingar dengan suara orang berbual-bual serta tangisan bayi dan kanak-kanak.

“Bekalan makanan juga mencukupi dengan sarapan, makan tengah hari dan makan malam yang dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kami juga mendapat bantuan seperti roti, mi segera, milo, air minuman dan peralatan mandian,” katanya yang pertama kali berdepan musibah banjir.

Biarpun pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) memantau ketat prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak sebarang kemungkinan penularan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir, Zarena tetap berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan.

“Pengalaman berada di sini (PPS) tidaklah teruk sangat, sebab segala keperluan disediakan dengan secukupnya. Cuma kami tidak disediakan tilam dan bantal dan itu kami kena bawa sendiri, tetapi khemah untuk tempat tidur agak luas dan boleh memuatkan empat orang,” katanya kepada Bernama.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker