Hebahkan !!!


ACP Osman Mamat

17/01/2021 12:57 AM

TAIPING, 16 Jan — Polis menafikan dakwaan bahawa seorang lelaki warga Bangladesh yang memakai gelang kuarantin Kementerian Kesihatan (KKM) merayau-rayau di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang di sini yang ditularkan menerusi satu rakaman video.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata rakaman video berdurasi satu minit 37 saat menunjukkan pasukan polis memeriksa seorang lelaki pada kira-kira 11.05 pagi tadi itu, bukan warga asing malah tidak mengenakan gelang tangan KKM seperti didakwa.

“Pasukan polis ke lokasi berkenaan selepas menerima panggilan daripada pihak peronda lebuh raya berhubung seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang sesat di sekitar R&R itu.

“Dia berasal dari Kampong Pondok, Padang Rengas dan tinggal dengan kakaknya di Ipoh telah menumpang lori untuk ke Alor Star, Kedah untuk mencari kerja namun berhenti di kawasan hentian itu sebelum pekerja kedai makan menghubungi polis bantuan untuk meminta pertolongan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihak polis telah membantu menghantar lelaki tersebut ke Stesen Bas Kamunting serta membelikan tiket bas untuk pulang semula ke rumah kakaknya di Ipoh.

Osman berkata orang ramai diingatkan tidak menularkan sebarang berita yang tidak benar kerana boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Katanya sebarang perkongsian berita palsu merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Leave a Reply

%d bloggers like this: