Kempen pemvaksinan COVID-19 di Brazil bermula Rabu

RIO DE JANEIRO, 18 Jan — Brazil akan memulakan pemvaksinan COVID-19 besar-besaran pada Rabu, lapor Agensi Berita Xinhua.

Menteri Kesihatan Eduardo Pazuello pada sidang media, Ahad berkata vaksin akan diedarkan ke seluruh negara mulai Isnin pagi.

Keputusan itu dibuat selepas Badan Kawalan Kesihatan Brazil pada Ahad sebulat suara meluluskan penggunaan kecemasan vaksin CoronaVac, dihasilkan makmal China Sinovac, dan juga vaksin AstraZeneca-University of Oxford.

Bekalan vaksin akan dihantar Angkatan Tentera Udara Brazil “ke pusat strategik” di setiap negeri, dan pada Rabu, pemvaksinan di seluruh negara bermula.



Vaksin pertama yang diedarkan di Brazil adalah CoronaVac, dibangunkan oleh Sinovac bersama Institut Butantan Sao Paulo, dan dos pertama diberikan kepada petugas kesihatan di Sao Paulo sebaik sahaja mendapat kelulusan.

Kerajaan Brazil telah memperoleh jaminan enam juta dos vaksin CoronaVac untuk edaran ke seluruh negara.

Meskipun program vaksin akan bermula, menteri itu menggesa penduduk “tidak bersikap sambil lewa terhadap langkah-langkah pencegahan.”

Brazil setakat ini mencatatkan hampir 8.5 juta kes COVID-19, dan hampir 210,000 kematian.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button