Polis Johor lakukan rampasan dadah terbesar bernilai RM201 juta

17/01/2021 05:22 PM

JOHOR BAHRU, 17 Jan — Polis Johor berjaya melakukan rampasan dadah terbesar bernilai RM201 juta menerusi serbuan di tiga stor penyimpanan di sekitar bandar raya ini, pada 14 dan 15 Jan lepas.

Ketua Polisnya Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rampasan itu yang terbesar dalam sejarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia, adalah hasil siasatan terhadap 15 suspek yang ditahan dalam sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah pada 12 Jan lepas.

Katanya penahanan yang dilakukan menerusi serbuan ke atas dua makmal yang memproses dadah dan dua stor penyimpanan itu, berhasil menemukan dadah bernilai RM125.8 juta.

“Hasil siasatan terhadap suspek kemudian membolehkan polis menyerbu tiga lagi lokasi yang dijadikan stor penyimpanan dadah iaitu di sebuah kilang di Taman Mount Austin dan dua buah rumah sewa di Taman Setia Indah di sini.

“Dalam serbuan ini, polis menemukan 3.2 tan serbuk ecstasy, 26.1 kilogram (kg) cecair ecstasy dan 117 kg serbuk Erimin 5 yang dianggarkan boleh digunakan kira-kira 11 juta penagih dadah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Khaw Kok Chin, di sini, hari ini.

Menurut Ayob Khan, polis turut menyita empat buah kenderaan mewah, wang tunai berjumlah RM5 juta; wata wang asing berjumlah RM231,961; 30 jenis barang kemas bernilai RM124,435; tiga utas jam tangan Rolex bernilai RM250,000 serta 62 akaun bank bernilai RM1.23 juta dalam serbuan sama.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dan sitaan adalah bernilai RM210.52 juta,” katanya sambil menambah dua lelaki tempatan berusia 34 dan 38 tahun turut telah ditahan masing-masing pada 5.20 petang, 14 Jan di Taman Mount Austin dan 2.30 petang di Taman Gaya, Ulu Tiram semalam kerana dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.

Ayob Khan memberitahu, salah seorang suspek itu adalah mekanik yang bertanggungjawab untuk mengubah suai kompartmen kenderaan, bagi menyimpan dadah.

“Sindiket ini beroperasi sejak tahun 2018, dengan menyewa premis kilang dan rumah untuk dijadikan stor penyimpanan dan pemprosesan dadah.

“Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula daripada hari tangkapan untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ayob Khan menjelaskan kes terbaharu ini menjadikan nilai keseluruhan dadah yang dirampas sejak 12 Jan lepas berjumlah RM341.79 juta dan oleh itu, pihaknya menjamin akan terus melakukan siasatan susulan bagi mengesan saki baki suspek yang terlibat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *