ASEAN bersedia percepat ekonomi digital- Duta Vietnam

18/01/2021 08:09 PM

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR, 18 Jan — Negara ASEAN berada di kedudukan terbaik dan sedia untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital kerana setiap anggota pertubuhan serantau itu mempunyai kemahuan politik tinggi dan memiliki pelan induk digitalisasi.

Duta Vietnam ke Malaysia, Dr Tran Viet Thai berkata, anggota ASEAN mempunyai visi bagus dibantu populasi dalam talian yang besar selain sudah memiliki infrastruktur Teknologi Maklumat (IT) bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi digital.

“Wabak COVID-19 mengukuhkan lagi kepentingan pendigitalan dalam kehidupan rakyat, menyerlahkan kepentingan dalam aspek sosio-ekonomi, malah terhadap aspek keselamatan mana-mana negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama menerusi e-mel sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama ( ADGMIN1) menerusi sidang video, bermula hari ini hingga 22 Januari.

Mengulas usaha pendigitalan untuk rakyat Vietnam, Dr Thai berkata Vietnam buat julung kali, semasa pandemik COVID-19, telah menghubungkan semua hospital Kementerian Kesihatan secara dalam talian, membolehkan penduduk di kawasan terpencil dan luar bandar menikmati perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik, seperti diagnosis dalam talian atau rawatan penyakit.

“Saya berpendapat kerajaan Vietnam sekarang berada di landasan yang tepat mengenai digitalisasi,” katanya.

Vietnam mempunyai kadar penembusan internet 70 peratus dengan 68.17 juta pengguna.

Menurutnya pembangunan dan kemajuan digitalisasi akan memanfaatkan semua termasuk orang ramai, perniagaan, kerajaan bahkan pelabur asing yang datang ke wilayah (ASEAN) dan “kita akan menikmati perkhidmatan lebih baik dan selamat semasa pandemik ini, penyambungan lebih pantas kepada rakan atau rakan niaga.”

“Tetapi pada masa sama, kita memerlukan lapangan lebih baik dan lebih setara untuk semua orang bergabung dalam konteks Revolusi Industri 4.0 dan di dunia pasca-COVID-19,” katanya, sambil menambah Vietnam dianggap antara negara mempunyai kadar penembusan internet terbesar dunia.

Mengenai jangkaannya terhadap ADGMIN1, Dr Thai berharap pertemuan itu dapat memfokuskan usaha memperkukuhkan kerjasama antara ASEAN dalam membina ekosistem digital yang inklusif, mampan dan dapat diakses pada masa depan.

“Ini juga peluang baik buat menteri yang bertanggungjawab untuk berbincang dan bertukar idea mengenai kemajuan yang telah dicapai ASEAN dalam melaksanakan Pelan Induk ICT ASEAN 2020.

“ADGMIN1 dijangka akan melancarkan Pelan Induk Digital ASEAN 2025 selain menyentuh beberapa isu penting seperti 5G, pengubahsuaian e-dagang dan perlindungan data swasta,” tambahnya.

Bertemakan “ASEAN: A Digitally Connected Community”, mesyuarat itu bertujuan memperkukuh kerjasama ASEAN ke arah membangun ekosistem digital sebagai tonggak dalam rancangan pembangunan pasca-COVID-19.

Mengulas lanjut, Dr Thai berkata menurut laporan “Ekonomi Digital Asia Tenggara pada 2019”, yang dijalankan Google, Temasek and Bain, ekonomi digital Vietnam pada 2019 bernilai US$12 bilion, empat kali lebih tinggi berbanding 2015 dan dijangka mencecah sekitar US$43 bilion pada 2025.

Beliau berkata, kekuatan utama yang mendorong pembangunan ekonomi digital Vietnam adalah e-dagang, menyumbang US$5 bilion selain pelancongan dalam talian sebanyak US$4 bilion dan komunikasi dalam talian (AS $ 3 bilion).

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker