Kelab penyokong minta ‘perang’ Norizam-FAM-MFL dibawa ke meja rundingan

18/01/2021 05:36 PM

KOTA BHARU, 18 Jan — Kelab penyokong siber bola sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) minta ‘perang’ antara pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dibawa ke meja rundingan.

Presidennya Mohd Nurul Md Yusoh berkata pihaknya kurang senang dengan perkembangan mutakhir yang melanda ketiga-tiga pihak itu.

“Kami berpandangan perang terbuka iaitu berbalas kenyataan melibatkan Norizam dengan dua pihak pengurusan Liga Malaysia (Liga-M) itu tidak menguntungkan sesiapa bahkan menjadi semakin rumit dan berpanjangan.

“Jalan terbaik, adalah ketiga-tiga pihak itu menyelesaikannya di meja rundingan dengan segera,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Isu pemotongan mata, bayaran hak penyiaran dan elaun pengadil antara topik ‘hangat’ membabitkan tiga pihak berkenaan yang berbalas kenyataan media ataupun di muat naik melalui media sosial masing-masing.

Sementara itu, Mohd Nurul berkata Kelantan.Net menyarankan agar pemilik Kelantan FC itu tidak menggunakan platform media sosial untuk menyatakan rasa tidak puas hati, sebaliknya menggunakan saluran betul.

“Sebarang langkah menggunakan platform media sosial secara berterusan dikhuatiri akan membina persepsi buruk terhadap FAM selaku badan induk bola sepak kebangsaan dan MFL sebagai organisasi pentadbiran liga selain mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak tempatan,” katanya.

Beliau berkata Kelate.Net juga melihat ‘drama panas’ itu tidak membantu usaha Kelantan FC untuk membina pasukan ketika semua pihak berdepan cabaran sukar untuk menguruskan liga dalam situasi pandemik COVID-19.

“Perlu diingatkan juga penyokong bola sepak tidak lagi berminat untuk mendengar masalah hutang dan menggesa Kelantan FC menetapkan tempoh tertentu kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi menyelesaikan tuntutan gaji 11 bekas pemain berjumlah hampir RM190,000 itu,” katanya.

Leave a Reply