Kerajaan pimpinan Muhyiddin istiqamah fokus keperluan rakyat – Wan Saiful


Wan Saiful Wan Jan

17/01/2021 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan — Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan kerajaan yang istiqamah untuk memfokus kepada keperluan rakyat, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata Muhyiddin tetap fokus mendengar keluhan rakyat meskipun timbul pelbagai isu negatif dan tuduhan liar terhadapnya setiap hari.



“Rakyat sepatutnya boleh lega kerana dalam tempoh darurat, orang politik sepatutnya kurangkan politik. Boleh tumpu usaha bantu rakyat yang dilanda banjir dan COVID-19. Tapi ini masih tak habis-habis nak rampas kuasa. Begitu jauhkah seseorang itu boleh terpisah dengan realiti? Dah terlupa agenda rakyat sebab mengejar jawatan?” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful membidas kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan pimpinan Muhyiddin tidak mendapat kepercayaan rakyat, lebih-lebih lagi dengan proklamasi darurat dan pandemik COVID-19 dalam negara.

Anwar dalam kenyataan hari ini mendakwa rakyat semakin hilang keyakinan terhadap Kabinet Muhyiddin dan pengumuman darurat pula didakwa sebagai langkah terdesak.

Beliau juga dilaporkan sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menarik balik pengisytiharan darurat.



Pada Selasa, Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksana di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik COVID-19 dan tempoh pelaksanaan darurat itu adalah sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button