PAK JAMALI SHADAT KINI SEMAKIN UZUR, KURANG SELERA MAKAN

“Tiga hari lalu, bapa tiada selera makan. Disuapkan pun, bapa luahkan balik. Cuma malam Ahad lalu, baru bapa boleh telan sedikit makanan. Jika diikutkan, dahulu, bapa boleh menikmati juadah dengan sendiri di meja makan.

“Sekarang, kebanyakan masa, bapa hanya terbaring di katil,” kata anak bintang veteran, Datuk Jamali Shadat, 78, iaitu Fauzi, 48, yang memaklumkan bapanya itu kini semakin uzur dan kurang selera makan dan sejak dua bulan lalu, bapanya perlu disuap setiap kali makan.

Jamali yang cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ sejak era 1980-an, tidak lagi mampu makan dan minum sendiri.



Sebaliknya, beliau lebih banyak bergantung kepada ‘drip’ iaitu memasukkan air ke dalam tubuh bagi mengelak dehidrasi atau kekurangan air dalam badan.

Sejak pemergian isteri, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018, Jamali yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, bagai hilang semangat.

Beliau banyak berdiam dan bergantung kepada anak, menantu dan cucu untuk menguruskan diri. Ketika ini, Jamali menetap bersama Fauzi di Pulau Indah bersama menantu dan lima anak mereka.

“Sejak emak tiada, bapa sangat ‘down’, muram dan selalu termenung. Bapa pun kurang berjalan. Hendak bergerak dalam rumah termasuk ke tandas, perlu dipimpin. Dahulu, bapa boleh bergerak termasuk menggunakan kerusi roda,” tuturnya.



Fauzi berkata, bapanya mendapatkan rawatan di klinik berdekatan tiga bulan sekali: “Bulan hadapan tiba waktunya untuk kami bawa bapa ke klinik. Pemeriksaan dibuat merangkumi darah tinggi, kencing manis dan tahap kolestrol. Setakat ini, doktor beritahu bapa okay dan boleh mengikut rutin pemeriksaan di klinik seperti biasa,” jelasnya.

Tambah Fauzi, ingatan bapanya yang mempunyai lapan anak dan 39 cucu itu makin merosot dan ‘berat mulut’ untuk bercakap: “Sekarang hendak bercakap agak sukar. Mulut bapa seperti terkumat-kamit, tapi suara tidak keluar,” katanya.

Fauzi berkata, tahun lalu, beberapa teman artis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan artis menghulurkan bantuan: “Cuma sekarang, dengan keadaan pandemik COVID-19, kita faham ada kekangan. Kalau ada yang sudi membantu, kami terima dengan lapang dada. Apa yang lebih utama, bapa akan terus kuat dan kembali sihat,” ujarnya.

KELUAR HOSPITAL – M DAUD KILAU MASIH KURANG SELERA MAKAN, PERLU REHAT



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button