Shahril, Ka Chuan juga nafi terima derma politik UKSB

Kuala Lumpur: Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan menafikan dakwaan bahawa beliau pernah menerima RM1.16 juta derma politik daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Shahril dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata, beliau bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya diminta untuk membantu siasatan.

“Saya menegaskan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali. Malah, saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan lejar yang kononnya mengandungi nama ‘S Pat’ mahupun kandungan lejar tersebut.

“Saya selanjutnya menyatakan bahawa saya bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam apa jua keadaan sekalipun berkenaan perkara ini,” katanya.



Terdahulu, pada perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Shahril serta dua bekas menteri MCA menerima hampir RM10 juta derma politik daripada UKSB.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Agung MCA Tan Sri Ong Ka Chuan turut menafikan beliau menerima dana politik berjumlah RM920,000 seperti didakwa saksi pada perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

Ka Chuan yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, berkata dakwaan itu sama sekali tidak berasas.

Katanya, beliau sedia memberikan kerjasama bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan.



Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua bukti dan butiran mengenai perkara itu diberikan kepada pihak berkuasa dan mendedahkannya kepada pengetahuan umum.

Dilaporkan, perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

Seorang lagi bekas menteri daripada MCA, adalah bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy yang turut didakwa saksi, David Tan yang menerima dana politik berjumlah RM7.8 juta.

Bekas pengurus pentadbiran UKSB itu adalah saksi pendakwaan dalam perbicaraan Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri ketika itu di atas 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah S$13.56 juta (RM42 juta) daripada syarikat itu.

Suapan itu adalah berkaitan sistem visa yang dikendalikan syarikat terbabit.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker