Tragedi feri Sewol, pasukan pendakwa tolak sebahagian besar tuntutan keluarga mangsa

19/01/2021 05:52 PM

SEOUL, 19 Jan — Pasukan pendakwa khas menolak sebahagian besar tuntutan keluarga mangsa berhubung nahas feri Sewol yang mengorbankan lebih 300 orang, kebanyakannya remaja, lapor Agensi Berita Yonhap.

Pengumuman keputusan itu sekali gus mengakhiri siasatan yang dijalankan selama 14 bulan.

Feri itu tenggelam di pesisir barat daya Semenanjung Korea pada 16 April 2014, tragedi yang disifatkan terburuk, meragut nyawa 250 pelajar dan 11 guru.

Pada Februari, pasukan itu mendakwa 11 pegawai kanan polis maritim, termasuk bekas ketua Pengawal Pantai Korea Selatan Kim Suk-kyoon kerana cuai sehingga mengakibatkan kematian dan lambat bertindak.

Selain itu pada Mei sembilan pegawai kerajaan, termasuk bekas ketua staf bekas Presiden Park Geun-hye, Lee Byung-kee turut didakwa menyalahgunakan kuasa.

Mereka dituduh mengganggu usaha sebuah suruhanjaya penyiasatan khas yang ditugaskan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Bagaimanapun, pasukan itu menutup siasatan tanpa dakwaan tambahan mengenai tuduhan bahawa pentadbiran pimpinan Park mempengaruhi siasatan dan badan perisik kerajaan secara tidak sah mengawasi beberapa keluarga mangsa untuk menutup kebenaran.

Pasukan itu turut menggugurkan tuduhan polis maritim yang bertindak memindahkan seorang remaja lelaki dengan bot bukan menggunakan helikopter, yang dikatakan punca mangsa tidak dapat diselamatkan.

Sementara itu,isu rakaman kamera litar tertutup dari feri yang mencetuskan curiga akan dikendalikan badan penasihat khas.

“Kami melakukan yang terbaik untuk meneliti pelbagai tuduhan dan mencari kebenaran di sebaliknya.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” kata ketua pasukan Im Kwan-hyuck dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pasukan itu ditubuhkan Ketua Pendakwa Yoon Seok-youl pada November 2019 untuk menyiasat beberapa isu dan tuduhan yang belum selesai mengenai operasi menyelamat dan salah urusan berhubung tragedi tersebut.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker