Biden angkat sumpah Presiden


© Provided by Berita Harian Presiden AS, Joe Biden, mengangkat sumpah jawatan sambil disaksikan isterinya, Dr Jill Biden, di bangunan Capitol, Washington. – Foto AFP

WASHINGTON: Biden, 78, sebentar tadi mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 di hadapan Hakim Mahkamah Agung, John Roberts, di bangunan Capitol, Washington DC.

Terdahulu, Kamala Harris, 56, selaku wanita pertama dan individu pertama berketurunan Asia Selatan yang dilantik sebagai Naib Presiden AS, mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Agung, Sonia Sotomayor.

Bekas Presiden AS, Donald Trump, meninggalkan Washington tiga jam sebelum Biden mengangkat sumpah, sekali gus menjadi presiden pertama dalam 150 tahun yang tidak menghadiri majlis pelantikan penggantinya.

Biden, yang juga bekas naib presiden AS dan Senator veteran, dilantik Presiden AS ke 46 di bangunan Capitol, lokasi sama yang melihat penyokong Trump merusuh dua minggu lalu membantah keputusan pilihan raya presiden AS pada 3 November lalu.

Kemenangan ini adalah penantian 34 tahun Biden, yang pertama kali mencuba nasib bertanding bagi jawatan Presiden AS pada 1987 dan pada usia 78 tahun, beliau juga adalah Presiden AS yang tertua.

Namun, buat pertama kali dalam sejarah 200 tahun, upacara angkat sumpah Presiden AS dan Naib Presiden dipilih, Kamala Harris, kurang meriah kerana kehadiran orang ramai terpaksa dihadkan berikutan pandemik COVID-19.

Malah, tragedi rusuhan penyokong Trump dua minggu lalu mendorong pihak berkuasa mengerahkan 25,000 anggota berkawal bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Laman di hadapan bangunan Capitol dihiasi kira-kira 200,000 bendera sebagai petanda simbolik menggantikan orang ramai yang tidak dapat dijemput bagi memeriahkan cara itu.

Sementara itu, Trump meminta rakyat AS mendoakan kejayaan pentadbiran yang bakal diterajui penggantinya, Biden, dalam ucapan menerusi rakaman video selepas hampir dua minggu menghilang. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker