COVID-19: Kematian di AS cecah 400,000

20/01/2021 12:33 PM

BEIJING, 20 Jan — Amerika Syarikat terus mencatat jumlah mengerikan dengan 400,000 kematian berkaitan COVID-19, menurut Johns Hopkins University.

Keseluruhan kes mencapai 24.16 juta, dengan jumlah kematian di seluruh AS meningkat kepada 400,022 pada 2.21 malam waktu tempatan (1921 GMT).

AS juga mengesahkan 2.5 juta kanak-kanak positif ujian COVID-19, menurut laporan terkini Akademi Pediatrik Amerika (AAP) dan Persatuan Hospital Kanak-kanak.



Lebih 211,000 kes baharu kanak-kanak dilaporkan minggu lalu setakat 14 Januari, kes mingguan tertinggi sejak pandemik tersebar, demikian menurut AAP.

Chile pula melaporkan 3,400 kes baharu COVID-19 dan 26 kematian dalam tempoh 24 jam pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu sebanyak 677,151 dan jumlah korban kepada 17,573, kata Kementerian Kesihatan, menurut laporan Agensi Berita Xinhua.

Setakat ini, seramai 24,025 penduduk telah disuntik dos pertama vaksin COVID-19, manakala 8,360 menerima dos kedua, menurut kementerian

Di German, kerajaan negeri dan persekutuan bersetuju melanjutkan langkah pencegahan sekurang-kurangnya sehingga 14 Februari.



Kebanyakan kedai dan sekolah masih ditutup dan orang ramai diminta terus menghadkan kontak dan berada di rumah sehingga beberapa minggu akan datang.

Suruhanjaya Eropah meminta negara Kesatuan Eropah (EU) untuk mempercepat vaksinasi COVID-19, dengan menyasarkan suntikan kepada 70 peratus populasi dewasa menjelang musim panas.

Menurut kenyataan dikeluarkan badan eksekutif EU itu, sekurang-kurangnya 80 peratus pekerja kesihatan dan sosial serta 80 peratus warga emas berusia lebih 80 tahun harus diberi vaksin sebelum akhir Mac.

Di Iraq, kerajaan meluluskan penggunaan kecemasan penggunaan vaksin Sinopharm China dan AstraZeneca Britain untuk membendung penyebaran COVID-19.

Kementerian Kesihatan Iraq dalam satu kenyataan berkata Lembaga Pemilihan Ubat-ubatan Iraq meluluskan penggunaan kecemasan kedua-dua vaksin tersebut.

Jumlah kematian COVID-19 di Britain dalam tempoh 28 hari melepasi 90,000 selepas 1,610 lagi kes disahkan, menurut angka rasmi.

Ia jumlah kematian tertinggi sejak pandemik itu menular di negara ini, menjadikan angka kematian berjumlah 91,470.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker