Hadi Fayyadh intai kejayaan bersama kelab Azul Claro Numazu


Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Gambar kredit Yakult Malaysia)

20/01/2021 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan — Penyerang skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak, menyasarkan untuk membantu kelab baharunya iaitu Azul Claro Numazu mencapai kejayaan dalam saingan Divisyen Tiga Liga Jepun (J3 League), pada musim ini.

Beliau yang bakal memakai jersi nombor 27 mengakui teruja untuk mewakili kelab berkenaan, setelah dipinjamkan selama semusim daripada kelab Divisyen Dua Liga Jepun, Fagiano Okayama.



“Saya akan melakukan yang terbaik untuk pasukan ini, bagi menghargai peluang yang telah diberikan bersama pasukan ini. Saya tidak sabar bagi memulakan aksi bersama pasukan Numazu dan mengharapkan segala yang terbaik bagi musim 2021,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Yakult Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, pemain berusia 20 tahun itu memaklumkan, beliau memilih nombor 27 sebagai simbolik kepada dirinya untuk menjadi lebih baik bersama kelab baharunya. Beliau sebelum ini memakai jersi nombor 28 bersama Fagiano Okayama.

Terdahulu, Muhammad Hadi Fayyadh diperkenalkan secara rasmi sebagai salah seorang daripada 10 pemain baharu kelab Azul Claro Numazu bagi musim 2021, pada satu majlis di pusat latihan kelab berkenaan di wilayah Shizuoka, Jepun hari ini.

Keputusan untuk meminjamkan Muhammad Hadi Fayyadh ke kelab Azul Claro Numazu diputuskan bersama oleh Fagiano Okayama dan Yakult Malaysia, bagi membolehkan pemain berkenaan memperoleh lebih banyak minit permainan, selain memberi pengalaman baharu kepada dirinya dalam saingan Divisyen Tiga Liga Jepun.



Muhammad Hadi Fayyadh menyertai Fagiano Okayama pada Disember 2018, namun gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan berkenaan.

Pasukan Liga Super India intai Shahrel

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker