Harimau Malaya boleh adakan kem latihan pusat secara kuarantin – KBS

19/01/2021 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Skuad Harimau Malaya boleh menarik lafas lega apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membenarkan mereka mengadakan latihan pusat menggunakan pendekatan kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, dalam masa terdekat.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata MSN mempunyai fasiliti dan kemudahan yang sesuai untuk melakukan persiapan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, Mac ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi (26 Mac) dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 31 Mac ini.

“Setelah berbincang dengan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya melihat bahawa mereka boleh menggunakan premis MSN sebagai pusat latihan mereka.

“MSN Bukit Jalil mempunyai fasiliti dan kemudahan serta mudah untuk dilakukan operasi berasaskan kepada model latihan secara kuarantin berbanding tempat lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pusat latihan itu boleh menempatkan antara 30 hingga 40 orang termasuk barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain, katanya.

Sebelum ini, latihan pusat skuad kebangsaan yang dijadualkan bermula 16 Jan lepas terpaksa dibatalkan selepas Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan) dan Selangor tersenarai antara enam negeri diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Jan lalu.

Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Dalam perkembangan lain, Reezal Merican berkata atlet kebangsaan yang menjalani latihan di bawah Program Podium termasuk atlet para dan pelapis kebangsaan akan meneruskan latihan menggunakan pendekatan kuarantin seperti biasa.

“Kita berjaya mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana kita lakukan latihan berpusat secara kuarantin dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.

Setakat ini hampir 632 atlet, jurulatih dan anggota dalam 28 jenis sukan terlibat di lima lokasi latihan berpusat iaitu Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Bukit Kiara, Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar Langkawi dan Velodrom Nilai.

Peluang Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 mungkin terjejas

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker