India, ASEAN perlu wujudkan kerangka kerjasama ruang digital


Mridul Kumar

20/01/2021 05:52 PM

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR, 20 Jan — India dan ASEAN perlu mewujudkan kerangka kerjasama dalam bidang ruang digital, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Mridul Kumar.

Beliau percaya kerjasama digital dengan 10 anggota ASEAN boleh diperkukuh lagi dan mampu menjadi contoh kepada negara lain.

“Ekonomi digital India sedang berkembang pesat. Terdapat peningkatan dalam penggunaan teknologi digital di setiap sektor ekonomi.

“Sama seperti negara ASEAN yang turut menggunakan teknologi digital dalam sistem pentadbiran serta perniagaan dan perkhidmatan.

“Pengalaman luas India dan negara ASEAN sangat membantu dalam membangun infrastruktur keselamatan yang mantap, dan amat diperlukan untuk perdagangan digital dan e-dagang,” katanya kepada Bernama.

Mridul berkata sebahagian besar netizen di India bergantung dengan kepesatan ekosistem digital, menerusi penggunaan telefon bimbit, media sosial, e-dagang, pembayaran digital, dan perkhidmatan e-pentadbiran yang kini menjadi kebiasaan dalam kalangan penduduk luar bandar.

“India antara negara perintis di Asia dalam transformasi digital. Kerjasama India dalam bidang ekonomi digital akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala perdagangan, ekonomi, sains dan teknologi dengan negara ASEAN,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini kerjasama India dengan ASEAN dalam bidang ekonomi digital, Pesuruhjaya Tinggi itu berkata hubungan New Delhi dengan ASEAN bermula awal 1990 ketika Dasar Pandang Ke Timur India dilancar, menjadi Rakan Dialog ASEAN pada 1996, Rakan Kongsi Sidang Kemuncak pada 2002 dan Rakan Strategik pada 2012.

“Menjadi Rakan Kongsi Strategik merupakan tindakan paling wajar dalam perkembangan hubungan India-ASEAN selama dua dekad lalu,” katanya.

India negara kedua terbesar di Asia, dengan jumlah penduduk 1.3 bilion.

Mridul berkata pada masa ini, ekonomi India yang dinamik dan berkembang di bawah pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi menyaksikan perkembangan reformasi digital yang rancak dalam setiap sektor ekonomi, termasuk perdagangan, industri, pelaburan asing, kewangan, percukaian dan sektor awam.

ASEAN bersedia percepat ekonomi digital- Duta Vietnam

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker