NORYN AZIZ AKUI TAK FIKIR SOAL ANAK MESKIPUN KEMBALI BERUMAH TANGGA
Pada 13 Oktober tahun lalu, penyanyi Noryn Aziz telah kembali memegang status isteri setelah sekian lama mejadi ibu tunggal. Noryn diijabkabulkan dengan ahli perniagaan, Shaik Rizal Shaik Sulaiman, 49, dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Damansara, Selangor.
Ditanya berhubung memperolehi zuriat pada perkahwinan kali ini, Noryn Bagaimanapun berkata dia tidak meletakkan perkara tersebut sebagai keutamaan kerana buat masa ini dia dan suami mahu memberi fokus dalam membesarkan anak daripada perkahwinan terdahulu sebaik mungkin.
“Mendapatkan zuriat bukanlah keutamaan saya dan suami di kala umur saya sudah mencecah 45 tahun. Saya dah ada seorang anak lelaki, Umar dan suami pun ada seorang anak perempuan yang berusia 20 tahun (hasil perkahwinan terdahulu suami)… jadi kami dah ada sepasang anak.
“Kalau boleh di usia begini, kami nak menjalani kehidupan yang lebih tenang dan fokus membesarkan anak-anak yang ada. Tapi, kita hanya merancang, rezeki Allah kita tak tahu kan,” ujarnya.
Klik untuk gambar besar
Juara program Gegar Vaganza musim kelima itu juga berkata dia bersyukur dikurniakan suami yang memahami kerjaya seni yang sudah diceburinya sejak 25 tahun lalu.
“Saya bersyukur dikurniakan suami yang sangat memahami kerjaya seni saya, jadi bila saya nak bekerja itu semua perkara jadi mudah. Tiada sebarang tekanan atau masalah yang akan timbul sebab dia seorang yang memahami, Alhamdulillah,” tuturnya.
Sebelum ini, Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 45, pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, namun berpisah pada 2018. Hasil pernikahan mereka, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Raja Bariq Umar Shah yang kini berusia tujuh tahun.