Ramesh Kodammal dilantik semula sebagai pengerusi bersama AIBC

Hebahkan !!!


Datuk Ramesh Kodammal

20/01/2021 06:04 PM

Oleh V. Sankara Subramaniam

KUALA LUMPUR, 20 Jan — Datuk Ramesh Kodammal dilantik semula sebagai Pengerusi Bersama Majlis Perniagaan ASEAN-India (AIBC) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Jan, 2021.

Ramesh berkata beliau menerima surat pelantikan daripada Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam.

“Susulan pelantikan ini, saya mahu bekerja dan menggiatkan lagi kesalinghubungan perniagaan kepada perniagaan dengan tujuan meningkatkan kerjasama kepada tahap lebih strategik yang boleh menyumbang dalam mengukuhkan lagi perdagangan dan pelaburan di antara ASEAN dengan India.

“Majlis ini juga akan berunding dengan perniagaan di rantau ini untuk mendapatkan maklum balas mengenai cadangan semakan ke atas Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN yang ditandatangani pada 2009,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata semakan itu akan memberi dorongan tambahan yang diperlukan untuk meningkatkan tahap kerjasama.

“Semakan itu diharapkan membawa kepada pengurangan dan penghapusan duti ke atas produk yang masih belum dimasukkan sepenuhnya ke dalam perjanjian perdagangan bebas tersebut,” katanya.

Ramesh, yang menjadi pengerusi AIBC sejak 2013, berkata selain itu usaha terus dilakukan untuk memohon India mempertimbangkan semula keputusannya dan menyertai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehenstif Serantau (RCEP) yang boleh mendorong penyepaduan seterusnya bagi dua rantau ini serta menyertai aktiviti rantaian nilai perniagaan serantau yang berkembang.

Leave a Reply

%d bloggers like this: