Trump catat rekod tidak cetuskan perang baharu


Donald Trump (Photo: Bernd von Jutrczenka/dpa)

20/01/2021 02:33 PM

WASHINGTON, 20 Jan — Presiden Donald Trump pada Selasa menyampaikan ucapan perpisahan menjelang pelantikan penggantinya, menyebut beliau mencatat rekod apabila tidak mencetuskan perang baharu sepanjang memegang jawatan itu, lapor Agensi Anadolu.

“Saya sangat bangga menjadi Presiden pertama dalam beberapa dekad yang tidak memulakan perang baharu,” kata Trump dalam sebuah video, serta mengucapkan terima kasih kepada anggota pentadbirannya.



Di awal ucapannya, Trump berkata beliau memulakan visi untuk “menjadikan Amerika kembali hebat,” slogan yang sering diungkapkan dalam ucapannya dan “kami melakukan apa yang sepatutnya – dan banyak lagi.”

“Minggu ini, kita melantik pentadbiran baharu dan didoakan semoga berjaya menjaga keamanan dan kesejahteraan Amerika,” katanya, sambil mengucapkan selamat maju jaya kepada penggantinya Joe Biden.

Di Timur Tengah pula, Trump mengimbau kejayaan Amerika Syarikat (AS) mengalahkan Daesh dan membunuh pemimpinnya.

Menurutnya, semasa tempoh pentadbirannya, Washington juga mengakui Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan mengiktiraf kedaulatan rejim itu di Bukit Golan, walaupun mencetuskan kemarahan antarabangsa.



Biden akan dilantik presiden AS ke-46, namun Trump menolak keputusan pilihan raya presiden 3 November, dengan alasan berlaku penipuan, dan menyeru bantahan besar-besaran.

Berikutan ucapannya yang dikatakan menghasut sehingga menyebabkan rusuhan dan lima kematian di Capitol Hill pada 6 Januari, Trump dituduh “menghasut pemberontakan” dan akan berhadapan pendakwaan Senat.

“Sekarang, ketika saya bersiap untuk menyerahkan kuasa kepada pentadbiran baharu pada tengah hari Rabu, saya ingin anda tahu bahawa gerakan yang kita mulakan baru saja bermula.

“Kepercayaan bahawa negara mesti berkhidmat untuk rakyatnya tidak akan berkurang sebaliknya ia perlu semakin teguh hari demi hari.”

Turki nafi tembak jatuh pesawat perang Armenia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker