Hala tuju AS era Biden beri kesan ke arah kemakmuran, keamanan dunia

21/01/2021 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan — Sah sudah Joe Biden, akhirnya mengangkat sumpah jawatan presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-46 manakala gandingan daripada Parti Demokratnya, Kamala Harris sebagai Naib Presiden ke-49.

Meskipun acara ringkas itu dibayangi wabak COVID-19 dan kawalan ribuan anggota keselamatan akibat ancaman penyokong konservatif bekas Presiden Donald Trump yang menyerang bangunan simbol demokrasi di Capitol Hill baru-baru ini, Biden tekad mahu mengubah AS dan dunia.

Dalam ucapan sulung selaku presiden negara demokrasi itu , beliau menegaskan selain mahu merawat sengketa perkauman yang melebar di dalam negara dan bencana wabak COVID-19, AS akan memulihkan hubungan dengan sekutu mereka dan kembali melibatkan diri dengan dunia.



“Kami akan pulihkan hubungan dengan sekutu kami dan sekali lagi melibatkan diri dengan dunia, bukan untuk mengharungi cabaran semalam tetapi cabaran hari ini dan akan datang.

“Kami akan memimpin bukan hanya sekadar teladan menggunakan kekuatan, tetapi daripada kekuatan teladan yang ditunjukkan,” kata Biden.

Biden turut berikrar untuk menjadi penyokong kuat dan boleh diharapkan untuk keamanan, kemajuan dan keselamatan dunia ketika AS juga berdepan kekalutan ekonomi serta saingan dagangan dengan China.

Selepas berjaya memenangi pilihan raya presiden pada November lalu, dunia ternanti-nanti apakah gergasi global ini akan kembali mengepalai dunia ke arah kemakmuran sama seperti apa yang digariskan Biden ketika kempen pilihan rayanya.



Dalam bayangan bahawa kata akan dikota, Biden dijangka menandatangani 17 perintah eksekutif utama dengan beberapa perkara membabitkan kemakmuran dunia turut terangkum.

Antaranya adalah menyertai semula Perjanjian Iklim Paris dan Pertubuhan Kesihatan Dunia dan menarik balik larangan perjalanan ke atas Muslim, peraturan yang dianggap menindas umat Islam dunia.

Reaksi pemimpin dunia kelihatan turut mengharapkan Biden akan kembali mampu membawa perubahan dengan lidah pengarang Agensi Berita Xinhua berharap, Biden menamatkan “kegilaan” dasar luar dan ekonomi AS.

Presiden Kesatuan Eropah, Ursala von der Leyen senada dengan mengharapkan Biden yang pernah menjadi Naib Presiden AS ketika pentadbiran Barrack Obama, akan kembali berhubung rapat dengan blok Eropah itu.

“AS sudah kembali. Eropah sudah bersedia. Untuk menyambung kembali hubungan dengan rakan lama dan dipercayai,” tulisnya menerusi Twitter.

Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier pula berkata, pelantikan Biden menandakan hari gemilang untuk demokrasi.

Malah seteru era Perang Dingin AS, Rusia turut memberi reaksi positif apabila jurucakap Kremlin, Dmitru Peskov menegaskan, Rusia sedia menghulur tangan persahabatan dan keamanan kepada AS dan terserah kepada Pentadbiran Biden untuk menyambutnya.

Di Palestin, jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum menegaskan, bahawa tiada kekesalan dengan pemergian Trump yang dianggap sumber dan penaja utama ketidakadilan di dunia dan menjadi rakan penting penindasan Israel ke atas penduduk Palestin.

“Presiden AS, Joe Biden mesti menukar haluan yang sudah tersasar ini dan membetulkan dasar salah terhadap rakyat kami,” katanya.

Namun ketika berdepan harapan besar dunia, Biden sudah pasti perlu “menyatukan semula Amerika” terlebih dulu.

“Rakyat Amerika mampu menjadikan negara ini untuk sekali lagi sebagai peneraju utama dunia,” tambahnya.

Antara janji Biden adalah bahawa pentadbirannya akan menangani isu ketuanan kulit putih dan keganasan domestik.

“Sekarang, peningkatan ekstremisme politik, ketuanan kulit putih, keganasan dalam negeri yang harus kita hadapi dan tangani,” ujarnya.

Pada masa sama Biden meminta warga AS berganding bahu menamatkan sengketa berterusan.

“Kita mesti menamatkan perpecahan ini, puak merah melawan biru, liberal menentang konservatif, orang kampung dengan bandar,” katanya.

Biden mengangkat sumpah di depan Ketua Hakim Mahkamah Agung, John Roberts.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker