19 pengadil Malaysia dapat pengiktirafan FIFA


Stuart Ramalingam

22/01/2021 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan — Kewibaan pengadil Malaysia terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila 19 individu dipilih sebagai pegawai perlawanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kesemua individu berkenaan terdiri daripada lima pengadil, sembilan penolong pengadil termasuk seorang wanita, tiga pengadil futsal serta dua pengadil bola sepak pantai.

Lima pengadil itu ialah Mohd Amirul Izwan Yaacob yang bertugas sebagai pengadil FIFA sejak 2012, Mohd Nazmi Nasaruddin (2016), Suhaizi Shukri (2011), Razlan Joffri Ali (2018) dan Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah yang dilantik sebagai pengadil FIFA sejak 2019.

Sembilan penolong pengadil yang dipilih adalah Mohd Yusri Muhamad, Mohd Muazi Zainal Abidin, Mohd Shahreen Che Omar, Mohd Harif Md Akhir, Mohd Arif Shamil Abd Rasid, Mohd Zairul Khalil Tan, Mohd Farhan Abdul Aziz, Muhamad Shafiq Ahmad Said dan seorang penolong pengadil wanita iaitu Nur Akmal Anuar.

Tiga pengadil futsal pula ialah Helday Idang, Mohd Ridzuan Rozali dan Mohd Norafendy Norhayalan, manakala dua pengadil bola sepak pantai adalah Suhaimi Mat Hassan dan Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim.

Dalam pada itu, Stuart memaklumkan Mohd Amirul Izwan turut ditauliahkan untuk dilantik sebagai ‘Video Match Official (VMO), manakala Mohd Yusri memperoleh tauliah sebagai penolong pengadil bagi perlawanan yang melibatkan ‘Video Assistant Referee’ (VAR).

Pada masa sama, beliau turut menegaskan FAM sentiasa menyokong aspek pembangunan pengadil daripada semua peringkat kerana percaya pengadil merupakan nadi kepada pembaharuan pembangunan bola sepak sebagaimana termaktub dalam Peta Hala Tuju F:30 yang telah dirangka oleh FAM.

“Semoga kesemua 19 pengadil yang dipilih oleh FIFA ini dapat menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan cemerlang sepanjang tahun 2021 demi membawa nama Malaysia di persada antarabangsa,” kata Stuart.

Mohd Amirul Izwan, 35, merupakan seorang pegawai polis di Pasukan Gerakan Am dan dipilih oleh panel FIFA sejak 2012.

Beliau telah mengadili perlawanan dalam beberapa kejohanan utama seperti Piala Dunia Bawah 17 Tahun pada 2015 di Chile; Kejuaraan Bola Sepak Asia Bawah 19 Tahun di Myanmar; selain pernah bertugas sebagai pembantu VAR pada aksi final Liga Juara-Juara Asia musim lalu.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker