Impian kanak-kanak pesakit leukemia naik MPV polis tercapai

22/01/2021 07:12 PM

KEPALA BATAS, 22 Jan — Impian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang menderita penyakit leukemia untuk menaiki kereta peronda (MPV) polis akhirnya menjadi kenyataan, pada hari ini.

Mohamad Ammar Dhani Mohd Azuan yang disahkan menderita penyakit kanser darah itu sejak berusia dua tahun menzahirkan kegembiraan apabila beliau diberi peluang menaiki MPV dan lebih manis kerana dia turut diiringi sendiri Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor.

Kenderaan MPV itu membawa Mohamad Ammar Dhani kira-kira 10 minit mengelilingi kawasan berhampiran Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah SPU.

“Seronok dapat naik kereta polis hari ini…sebab nak naik (MPV polis) kerana saya mahu menjadi polis bila besar nanti, nak tangkap orang jahat. Terima kasih pihak polis bawa saya naik kereta polis,” kata Mohamad Ammar Dhani kepada pemberita hari ini. Turut hadir ibunya, Nur Syazwani Mazlan, 30.

Nur Syazwani berkata Mohamad Ammar Dhani merupakan anak sulung daripada empat beradik dan keadaan kesihatannya ketika ini semakin merosot malah segala sesi rawatan serta ubat oleh hospital juga telah dihentikan kerana doktor memaklumkan kansernya pada peringat akhir.

Beliau yang tinggal di Bakar Bata, Penaga di sini dan mempunyai tiga lagi anak perempuan berusia empat dan tiga tahun serta sembilan bulan berkata sel kanser anak tunggal lelakinya itu telah merebak ke paru-paru dan saluran pernafasan serta memerlukan bantuan oksigen setiap masa bagi memastikan Mohamad Ammar dapat bernafas dengan baik.

“Sepanjang menerima rawatan sejak disahkan menghidap penyakit ini dia dalam keadaan baik namun sejak November tahun lepas kesihatan Mohamad Ammar Dhani semakin teruk.

“Memang sejak dulu Mohamad Ammar Dhani selalu maklumkan mahu naik MPV polis dan dia akan meminta untuk membeli kereta mainan tersebut, namun sejak beberapa bulan lepas dia berulang kali meminta untuk naik MPV kerana terlalu minat serta teruja.

“Saya pada mulanya tidak tahu bagaimana cara untuk memohon kebenaran untuk Mohamad Ammar Dhani menaiki MPV polis dan dalam keadaan terdesak untuk memenuhi impian anak, saya bertanya kepada seorang kawan yang merupakan anggota polis bertugas di Ibu Pejabat Polis SPU sebelum rakan memaklumkan ketua polis bersetuju benarkan anak saya (naik MPV),” katanya.

Nur Syazwani yang tidak bekerja mewakili keluarga termasuk suaminya Mohamad Azuan Abdul Mutalib, 33, seorang juruteknik sebuah syarikat swasta mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak polis kerana menunaikan hasrat serta impian anaknya menaiki MPV polis hari ini.

Sementara itu, Noorzainy berkata beliau dimaklumkan oleh seorang anggotanya berhubung impian kanak-kanak tersebut petang semalam sebelum terus memberi kebenaran untuk membawa Mohamad Ammar Dhani menaiki MPV polis hari ini.

“Walaupun dalam kesibukan polis ketika ini dalam menjalankan tugas terutama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami sedaya upaya merealisasikan impian Mohamad Ammar Dhani untuk menaiki MPV hari ini kerana sedikit sebanyak kami dapat menggembirakan dia.

“Menjadi sebahagian daripada tanggungjawab polis untuk membantu masyarakat dan kami juga mengambil berat dengan impian Mohamad Ammar Dhani, malah pasukan polis IPD SPU mendoakan supaya beliau dapat sembuh dan kembali sihat semula,” katanya.

Leave a Reply