Jumlah rampasan kes penyeludupan di Perlis meningkat

Hebahkan !!!

22/01/2021 07:57 PM

PADANG BESAR, 22 Jan — Jumlah rampasan bagi kes penyeludupan di Perlis meningkat bagi tiga minggu pertama tahun ini (Januari) berbanding bulan yang sama tahun lepas, kata Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Beliau berkata walaupun jumlah kes jenayah tersebut berkurangan sebanyak enam peratus namun nilai rampasan mencecah sebanyak RM3 juta berbanding sekitar RM1.5 juta pada tempoh sama tahun lepas.

“Rampasan melibatkan pelbagai barangan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis.

“Ia termasuk cubaan menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran,” katanya kepada pemberita hari ini selepas melakukan tinjuan hari pertama Sekatan Jalan Raya (SJR) sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Perlis yang bermula hari ini.

Surina berharap jenayah penyeludupan dan kes jenayah lain akan menurun dalam tempoh PKP ini.

Sementara itu, mengulas mengenai SJR di Perlis, Surina berkata terdapat beberapa kenderaan diarah berpatah balik hari ini setelah gagal memberi alasan munasabah.

“Kita masih belum mendapat jumlah keseluruhan kenderaan yang diarah berpatah balik, namun setakat ini sebanyak 20 kenderaan diarah berbuat demikian di empat lokasi SJR iaitu di Tambun Tulang, Padang Besar, Kaki Bukit dan Beseri,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: