Langkah AS sertai semula WHO amat wajar ketika dunia hadapi cabaran tangani COVID-19 – Pakar

Hebahkan !!!


Dr Azmi Hassan

22/01/2021 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan — Sejumlah 15 perintah eksekutif ditandatangani Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden termasuk menyertai semula Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah langkah wajar dan dialu-alukan ketika dunia menghadapi cabaran menangani pandemik COVID-19, kata seorang pakar geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Prof Dr Azmi Hassan berkata dengan terjalin semula kerjasama antara WHO dan negara kuasa besar dunia itu, maka satu dasar antarabangsa secara global diharap dapat dirangka dalam usaha menangani pandemik.

“Satu daripada perintah eksekutif Biden adalah menyertai semula WHO dan ini penting bukan sahaja kerana Amerika adalah penyumbang terbesar kepada WHO, malah badan kesihatan dunia itu (WHO) juga memerlukan kerjasama dan kepakaran daripada Amerika,” katanya ketika ditemu bual menerusi Skype dalam Buletin 1 petang di Bernama TV semalam (21 Jan).

Biden, 78, yang mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-46 Rabu lalu (di Amerika Syarikat) memulakan pentadbirannya dengan menandatangani sejumlah 15 perintah eksekutif, antaranya untuk kembali menyertai WHO, menamatkan larangan kemasukan rakyat dari beberapa negara majoriti-Muslim, meningkatkan perlindungan alam sekitar dan menarik balik perintah kecemasan yang membiayai pembinaan tembok sepanjang sempadan AS-Mexico.

Turut mengangkat sumpah, Kamala Harris sebagai Naib Presiden.

Mengulas lanjut, Azmi berpendapat setiap dasar dilaksana Biden termasuk 15 perintah eksekutif itu adalah berdasarkan fakta, maklumat saintifik selain dibuat berlandaskan perikemanusiaan mengenai kepentingan sesuatu dasar itu.

Katanya perintah eksekutif untuk menamatkan larangan kemasukan, menunjukkan Biden memiliki sikap lebih adil dalam memberikan layanan kepada umat Islam.

Mengenai hubungan AS-Korea Utara dan AS-China, Azmi berharap Biden akan mendengar nasihat pakar serta diplomat , sebelum membuat sebarang keputusan bagi menjamin kestabilan di Semenanjung Korea dan di Asia Tenggara.

Leave a Reply

%d bloggers like this: