Malaysia kecam serangan pengganas di Baghdad
22/01/2021 07:08 PM
KUALA LUMPUR, 22 Jan — Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di Baghdad, Iraq semalam (Khamis) yang mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan kepada orang awam tidak bersalah.
“Kami menghulurkan rasa simpati dan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iraq, khususnya keluarga mangsa yang sedang dalam kesedihan, dan berharap mereka yang cedera segera pulih.
“Malaysia bersolidariti bersama-sama Iraq pada tempoh sukar ini,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Malaysia menegaskan kembali pendiriannya yang menolak terorisme dan ekstremisme ganas dalam semua bentuk dan manifestasi. Ia juga menekankan keperluan mendesak terhadap usaha bersepadu di peringkat antarabangsa untuk menghapuskan keganasan secara komprehensif dan berkesan.
Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan 110 yang lain cedera dalam kejadian itu selepas pengebom bunuh diri meletupkan tali pinggang peledaknya berhampiran pasar pakaian yang sesak di kawasan Bab al-Sharji.
Beberapa minit kemudian seorang lagi pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di lokasi yang sama.