Pang Ron-Yee See cipta kejutan di Terbuka Thailand


Hoo Pang Ron-Cheah Yee See Photo Source :FB Badminton Association of Malaysia/Badminton Photo

22/01/2021 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan — Beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mencipta kejutan ke atas pasangan nombor lapan dunia Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja pada pusingan suku akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand Toyota di Bangkok hari ini.

Pasangan negara yang berada di kedudukan ke-35 dunia itu mengambil masa 68 minit untuk melakar kemenangan 12-21, 21-19, 21-19 menentang pasangan pilihan keenam dari Indonesia itu di Impact Arena.

“Kami bergelut pada set pertama. Mungkin kami tidak biasa dengan permainan yang perlahan. Kami belum pernah bermain di Gelanggang Dua dan ia menyukarkan kami. Pada set kedua dan ketiga, perlahan-lahan kami mendapatkan rentak semula dan bermain dengan agak baik.

“Mereka mempunyai kelebihan, secara fizikal kami mungkin tidak sekuat mereka tetapi taktik kami dan kelajuan Yee See di depan lebih pantas berbanding mereka dan ini menjadikan perlawanan kami lebih lancar,” kata Pang Ron seperti dipetik dalam laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.com.

Pang Ron-Yee See akan bertemu pasangan nombor enam dunia Seo Seung Jae-Chae Yujung dari Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir esok.

“Seperti yang saya katakan sebelum setiap perlawanan, tiada tekanan kerana kami pasukan ‘underdog’, jadi diharap kami dapat membawa pulang sesuatu untuk Malaysia,” kata Pang Ron mengulas mengenai pihak lawan yang merupakan pasangan pilihan keempat.

Turut mara ke separuh akhir adalah beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Sementara itu, Liew Daren gagal meneruskan persembahannya pada acara perseorangan lelaki apabila tewas 16-21, 15-21 kepada pemain pilihan keempat Viktor Axelsen dari Denmark.

Keputusan suku akhir:

(Nota: pemain Malaysia kecuali dinyatakan; tanda [ ] menunjukkan pemain pilihan)

Perseorangan lelaki:

Liew Daren kalah kepada [4] Viktor Axelsen (DEN) 16-21, 15-21

Beregu lelaki:

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kalah kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (IND) 18-21, 22-24

[8] Aaron Chia-Soh Wooi Yik mn Goh V Shem-Tan Wee Kiong 21-16 21-13

Beregu wanita:

Vivian Hoo-Yap Cheng Wen kalah kepada [3] Seo Lee So Hee-Shin Seung Chan (KOR) 13-21, 16-21

Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mn M.Thinaah-Pearly Tan Koong Le 22-20, 21-12

Beregu campuran:

[5] Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kalah kepada Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa (IND) 21-18, 22-24, 20-22

Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mn [6] Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja (INA) 12-21, 21-19, 21-19

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker