Peniaga rugi RM96,500 diperdaya ‘Timbalan Pendakwa Raya’

22/01/2021 08:18 PM

MELAKA, 22 Jan — Seorang peniaga kerugian RM96,500 selepas diperdaya oleh lelaki yang menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Putrajaya bagi menggugurkan kes mahkamah terhadap isterinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Supt E Sundra Rajan berkata peniaga berusia 40an menerima panggilan telefon daripada suspek pada Ogos tahun lepas dan membuat pembayaran secara berperingkat bagi menyelesaikan kes itu.

“Suspek telah berjanji untuk menyelesaikan kes isteri mangsa yang dituduh di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya di Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan.

“Mangsa telah memasukkan wang sebanyak lapan kali ke dalam satu akaun namun selepas isterinya masih ditahan di Penjara Sungai Udang dan dalam perbicaraan, menyebabkan mangsa berasa tertipu dan membuat laporan polis pada 17 Jan lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti dua suspek dipercayai sepasang suami isteri dan hasil siasatan mendapati suspek lelaki tidak bekerja sebagai timbalan pendakwa raya manakala suspek wanita adalah pemilik akaun keldai (mule).

“Polis menyeru orang ramai sekiranya mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Nurul Mazatul Ayu Mazlandi di talian 010-8200677,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu, katanya.

Peniaga rugi lebih RM90,000 ditipu ‘Ah Long’

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker